sukan

JDT tiada masalah dengan ancaman Gwangju FC

Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak perlu gentar dengan ancaman Gwangju FC apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Yongin Mireu, di Yongin, Korea Selatan, petang esok.

Gwangju FC yang dibimbing Lee Jung-Hyo masih kekal di tangga teratas saingan itu selepas merekod dua kemenangan dan mengumpul enam mata manakala barisan pemain Harimau Selatan yang kini di tangga kedua dengan empat mata perlu menunjukkan kredibiliti dan kekuatan tersendiri untuk berusaha melakar kejutan.

Apapun, faktor cuaca sejuk bakal dihadapi JDT mungkin sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan namun mereka harus melupakan apa jua senario dan memberi yang terbaik bagi memburu tiga mata.

Yang pasti kehadiran bekas bintang Real Madrid Jese Rodriguez bakal menyuntik semangat buat JDT dan akan membentuk kombinasi mantap bersama Jose Obregon dam Arif Aiman Hanapi pada pertembungan dijangka sengit.

Lebih meyakinkan apabila Rodriguez yang baru mula berlatih bersama JDT berjaya menjaringkan satu gol ketika aksi persahabatan menentang kelab dari Liga Singapura (Liga S), Balestier Khalsa FC 8-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, baru-baru ini.

Namun, skuad bimbingan Hector Bidoglio perlu waspada dengan ancaman dua pemain import mereka, Jasir Adani dari Macedonia yang sudah meledak empat gol dalam saingan kelab-kelab elit Asia itu dan Thomás Bedinelli dari Brazil.

sumber:- HM

Justeru, posisi tengah JDT yang diketuai Natxo Insa perlu lebih agresif mematikan setiap penguasaan bola pemain Gwangju FC dan pertahanan juga perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah.