sukan

Ranking Zii Jia turun mendadak

Kedudukan dunia pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia terus mengalami kemerosotan apabila menduduki ranking ketujuh mengikuti kemas kini terbaharu daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Kedudukan terkini menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu jatuh dua anak tangga berbanding ranking kelima sebelum ini dan dia turut dipintas pemain Jepun, Kodai Naraoka dan pemain Thailand, Kunvalut Vitidsarn.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu sebelum ini gagal mempertahankan gelarannya di Terbuka Artik di Finland, minggu lalu selepas dipalit kecederaan buku lali.

Lebih teruk, kecederaan dialaminya tampak lebih serius yang memaksanya menarik diri daripada Terbuka Denmark bermula hari ini.
Dan ketiadaannya pada kejohanan berstatus Super 750 itu dijangka akan terus menjejaskan kedudukan ranking dunianya sekali gus menggugat peluang untuk menempah tiket ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China, Disember ini.

Selain Zii Jia, turut mengalami kejatuhan ranking adalah pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao yang jatuh satu anak tangga ke tangga 30 dunia.

Sementara itu, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengekalkan ranking keempat dunia sekalipun tewas di pusingan kedua Terbuka Artik.

Juara Terbuka Artik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut mengekalkan kedudukan mereka di ranking lapan dunia.

sumber:- BH

Turut mengekalkan ranking dunia adalah pemain beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah (7) dan dua pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (9) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (10).