sukan

Import baharu pantas cipta impak bersama JDT

Bekas bintang Real Madrid Jese Rodriguez tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan dia masih berbisa apabila meledak gol pada penampilan sulungannya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika membelasah kelab Singapura, Balestier Khalsa 8-0 dalam aksi persahabatan, semalam.

Rodriguez yang masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan itu meledak gol kelapan Harimau Selatan pada minit ke-83 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.

Pemenang dua kali Liga Juara-Juara Eropah itu turut berkongsi kegembirannya di Instagram sambil berterima kasih kepada pemilik kelab, Tunku Mahkota Ismail dan juga penyokong.

“Gembira atas kemenangan pasukan dan ribuan terima kasih kepada peminat yang hebat atas sambutan mereka.” Saya berterima kasih kepada bos dan pasukan kerana membantu merasai seperti pemain bola sepak semula, malah membantu saya mendapatkan gol hari ini,” katanya di laman Instagram.

Kemenangan besar JDT itu turut dibantu dengan jaringan hatrik Bergson da Silva pada minit keempat, 18 dan 63 manakala Oscar Arribas meledak gol minit ke-10, Heberty Fernandes (minit 46 dan 58) dan Gabriel Nistelrooy (minit 81).

Juara bertahan Liga Super 10 kali berturut-turut itu berada dalam rangka persiapan untuk mengharungi aksi ketiga Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang pendahulu Zon Timur, Gwangju FC di gelangang lawan ada 22 Oktober ini.

sumber:- HM

Ketua jurulatih Harimau Selatan, Hector Bidoglio turut menurunkan beberapa pemain dari skuad ACLE mereka dalam perlawanan persahabatan itu untuk mengekalkan kecergasan perlawanan mereka semasa rehat antarabangsa.