sukan

Komen MFL gerakan untuk ‘menghidupkan’ semula Kelantan FC

Di sebalik ada gerakan untuk ‘menghidupkan’ semula Kelantan FC yang sudah ‘tenggelam’ ketika ini, pasukan itu tampaknya perlu mengharungi perjalanan panjang sebelum boleh kembali menuntut reputasi mereka sebagai ‘Jaguh Pantai Timur’.

Ini kerana Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi mengesahkan The Red Warriors (TRW) perlu bermula daripada liga bawahan dan tidak boleh ‘dinaikkan pangkat’ secara automatik meskipun mereka pernah menyertai saingan Liga Super musim lalu.

“Ya, berdasarkan peraturan, apabila pasukan gagal untuk mendapatkan lesen kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super contohnya kerana isu tunggakan gaji kakitangan dan pemain.

“… mereka perlu bermula daripada liga bawahan,” kata Rossi kepada BH Sukan.Sebagai rekod, Kelantan FC muncul pasukan pertama bagi musim ini yang gagal mendapatkan lesen kebangsaan sekali gus tidak dibenarkan beraksi di saingan Liga Super bagi musim 2024-2025.

First Instance Body (FIB) memaklumkan ini kerana skuad TRW itu gagal untuk melengkapkan dua kriteria kewangan di bawah sub-kriteria F.04 dan sub-kriteria F.11.

Mereka bagaimanapun dibenarkan mengemukakan rayuan namun rayuan mereka tetap ditolak Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL sekali gus terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan profesional.

Selepas tidak beraksi dalam kancah profesional, pasukan yang dimiliki usahawan, Norizam Tukiman itu turut menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini.

Terdahulu, peminat bola sepak tanah air berkemungkinan akan dapat melihat kemunculan semula bekas gergasi bola sepak Malaysia, Kelantan FC.

Ia susulan Gerakan Selamatkan Kelantan FC (GSK) ketika ini dalam peringkat akhir perbincangan dengan Norizam yang juga Presiden TRW Kelantan FC untuk mengambil alih kelab itu.

Malah, Pengerusi GSK, Nik Hafiz Naim Nik Hassan memaklumkan pertemuan terbaharu pihaknya dengan Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham minggu lalu menampakkan petanda positif.

sumber:- BH

Beliau bagaimanapun menjelaskan, GSK dan Zamsaham akan mengadakan pertemuan lagi dalam masa terdekat untuk mencari titik persamaan kedua-dua pihak dan memuktamadkan usaha mengambil alih TRW.