Peluang untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC muncul juara Malaysia Futsal Cup (MFC) 2024 tetap dianggap seimbang atau 50-50.
Namun, JDT selaku juara Liga Premier Futsal Kebangsaan Divisyen 1 2024 hadir ke perlawanan akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil, esok sebagai pasukan pilihan.
Meskipun membawa status pasukan pilihan, pengedali JDT, Juan Antonio Miguel Garcia menjelaskan pasukannya tetap tidak akan memandang mudah terhadap kemampuan Selangor.
Beliau menegaskan pasukannya akan berusaha sebaik mungkin untuk memenangi perlawanan akhir itu demi kelab dan penyokong JDT.”Kelab, saya, pemain dan penyokong gembira kami ke final. Namun final bukan hanya untuk bermain tetapi untuk menang. Jadi, kami akan pergi (ke perlawanan akhir) untuk menang.
“Saya yakin dengan pasukan, tapi kami menghormati Selangor dan mereka juga pasukan yang kuat. Aksi final dengan liga adalah berbeza, jika anda buat kesilapan anda akan tewas,” katanya pada sidang media di Axiata Arena, hari ini.
Aksi final esok juga menjadi medan terbaik buat JDT untuk menebus kekecewaan tahun lalu apabila mereka terlepas gelaran juara selepas tewas kepada Pahang Rangers di pentas akhir.
Sementara itu, pengendali Selangor, Edgar Eder Baldasso turut menaruh keyakinan bahawa pasukannya memiliki peluang yang sama dengan JDT untuk muncul juara.
Katanya, skuad Selangor yang diketuai Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin akan tampil dengan beberapa taktikal berbeza dalam perlawanan akhir itu.
“JDT pasukan yang kuat, juara liga. Semua tahu mereka lawan yang sukar dan mereka juga memiliki jurulatih serta pemain yang hebat. Setiap perlawanan apabila menentang JDT, ia menjadi aksi yang sengit.
sumber:- BH
“Kami akan cuba bagi aksi yang terbaik, saya yakin dengan pasukan dan perlawanan ini (esok) 50-50. Mereka pasukan pilihan ketika ini, tapi kami juga beraksi dengan baik,” katanya.