sukan

JDT diakui bukan lagi biasa-biasa

Gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka kini bukan setakat mampu bersaing di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 tetapi mereka mampu untuk ‘makan’ pasukan dari liga ternama yang turut berentap dalam saingan elit itu.

Skuad bimbingan Hector Bidoglio jelas berada pada kelas tersendiri apabila berjaya merakam kemenangan sulung di ACLE 2024/25 selepas membelasah wakil China, Shanghai Shenhua 3-0 pada aksi di laman sendiri, kelmarin.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan menghimpun empat mata selepas membuka kempen dengan keputusan 2-2 menentang pendahulu Liga Super China (CSL), Shanghai Port sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam dua perlawanan.

Situasi itu diakui pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus yang mengakui JDT memperagakan aksi ‘lima bintang’ di ACLE dan mereka dijangka tidak akan berdepan masalah untuk mencipta rekod mara ke pusingan kalah mati buat kali kedua.

Jelasnya, ketiadaan had untuk menurunkan pemain import dalam saingan terbabit membolehkan JDT ‘mengadun’ strategi terbaik digabungkan dengan kehadiran pemain tempatan seperti Arif Aiman Hanapi yang terus mencuri tumpuan apabila meledak tiga gol setakat ini.

“JDT dapat menguasai bola apabila menentang pasukan dari China dan kita tidak boleh nafikan JDT kini sudah berada pada standard kelab terkemuka dari liga tertinggi Asia seperti dari Jepun, Korea Selatan dan Australia.

“JDT sudah menunjukkan kredibiliti mereka, jadi saya rasa pasukan lain pun akan berhati-hati dengan kualiti yang ada pada JDT. Saya optimis JDT mampu melepasi peringkat kumpulan dan mara sekurang-kurangnya ke pusingan 16 terbaik.

“Kejayaan ini dibantu dengan kehadiran pemain import mereka yang sangat baik dan mereka juga boleh ‘full strength’ apabila boleh menurunkan semua pemain. Mungkin kita boleh katakan JDT tunjuk taring sebenar di Asia,” kata Fauzi.

Bagaimanapun, Fauzi yang juga bekas Pengarah Teknikal PDRM FC mengharapkan barisan pemain Bidoglio dapat lebih tenang dan berwaspada dengan mengurangkan kesilapan untuk memberi peluang pasukan lawan memanfaatkan situasi bola mati.

“Saya lihat dalam beberapa perlawanan, pemain JDT perlu perbaiki dari segi untuk mengurangkan ‘foul’ kerana ini boleh memberikan sepakan percuma kepada pihak lawan.

sumber:- BH

“Mereka perlu lebih tenang dalam menyerap asakan daripada pasukan lawan khususnya di kawasan yang boleh memberikan sudut yang baik untuk sepakan percuma,” katanya.