Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan badan induk itu sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pemain yang didakwa memiliki berdarah kacukan untuk mencuba nasib mewakili skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata sekalipun kempunan untuk mendapatkan khidmat pemain dari Belanda, Mats Deijl namun FAM sama sekali tidak akan serik untuk menerima mana-mana ‘permohonan’ daripada pemain berdarah kacukan yang berminat untuk bersama skuad kebangsaan.
“Kita ucapkan terima kasih kepada Mats kerana dia ada hasrat murni untuk mewakili negara tetapi atas teknikal, dia tidak lepas syarat kelayakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Dari situ, kita berharap ada beberapa pemain berdarah kacukan yang berpangkalan di luar negara tidak serik yang mana akan menyekat usaha kita untuk meneruskan ataupun mendapatkan pemain yang terbaik ini.
“Kita mahu meneruskan agenda kita untuk memperkuat pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Kerjasama Antara FAM dan Warner Music Malaysia (WMM) di Petaling Jaya, sebentar tadi.
Projek pertama kerjasama itu adalah menghasilkan lagu rasmi untuk Harimau Malaya yang dijangka dilancarkan selewat-lewatnya Mac tahun depan sebelum Pusingan Akhir Piala Asia 2027 berlangsung dari 17 hingga 25 Mac.
Terdahulu, Hasrat skuad Harimau Malaya untuk mendapatkan khidmat Mats yang beraksi bersama Go Ahead Eagles tidak kesampaian selepas FAM mengesahkan pemain itu tidak melepasi syarat kelayakan untuk menyertai skuad kebangsaan.
FAM menjelaskan, perkembangan itu disahkan oleh FIFA dan berdasarkan dokumentasi dilampirkan, pemain itu hanya memiliki darah keturunan Malaysia menerusi moyangnya dan bukan melalui datuk atau nenek sepertimana yang ditetapkan dalam syarat FIFA.
“FAM dapat menghubungi secara rasmi kelab, ejen dan pemain itu sendiri bagi membincangkan mengenai kelayakan beliau untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Malaysia.
“Hasil perbincangan, pemain ini memberikan dokumen berkaitan susur galur keluarganya yang menunjukkan beliau mempunyai hubung kait dengan negara Malaysia termasuk sijil lahir beliau, ayahnya, datuknya (sebelah ayah) serta pengesahan kelahiran moyangnya (sebelah ayah) iaitu ibu kepada datuknya.
sumber:- BH
Berdasarkan semakan, pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, yang mana Singapura adalah sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu,” kata FAM.