PENGENDALI Shanghai Shenhua FC, Leonid Slutsky menjangkakan pertembungan sengit menentang pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam ini.
Menurut Slutsky, pasukan sudah membuat persiapan rapi menjelang pertemuan itu setelah merehatkan beberapa pemain utama dan hanya menurunkan skuad kedua pada aksi liga sebelum ini.
“Kami tahu JDT merupakan pasukan yang hebat, mereka tidak ubah seperti Shanghai Port dalam saingan Liga Super China, gemar mendominasi permainan dan melakukan serangan dari pelbagai sudut.
“Pemain yang mencuri tumpuan ketika dua-dua bertembung pada aksi pembukaan ACLE semestinya Arif Aiman Hanapi yang meledak dua gol. Kami juga perlu berhati-hati dengan kelibat pemain nombor 30, Natxo Insa yang bertindak sebagai jeneral di bahagian tengah,” ujarnya.
Kali terakhir Shanghai Shenhua mengambil bahagian dalam kejohanan tertinggi Asia itu pada 2018 namun terkandas di peringkat kumpulan.
Sementara itu, pemain tengah Shanghai Shenhua, Joao Teixeira berkata, kesemua pemain sudah bersiap sedia dan dia yang juga bekas pemain Liverpool dan Feyenoord bertekad untuk memberikan yang terbaik meskipun berdepan tugas sukar.
“Tidak dinafikan JDT adalah pasukan yang hebat dan kami perlu lebih kompetitif untuk menyaingi kehebatan mereka. Pastinya, kami akan cuba sehabis baik dan beraksi tanpa tekanan.
“Sudah pasti pertembungan esok (malam ini) menjadi perlawanan berintensiti tinggi, bagaimanapun kami sudah bersiap sedia dari setiap sudut. Soal cuaca tidak memberi kami masalah, harapnya dapat jadi yang terbaik,” ujarnya.