Berniaga dalam talian menjadi antara kerja sambilan terpaksa dilakukan beberapa pemain Liga Malaysia (Liga M) untuk menyara keluarga apabila bergelut dengan isu tunggakan gaji.
Malah, ada antara mereka terpaksa menebalkan muka dengan meminjam wang daripada rakan dan ahli keluarga demi kelangsungan hidup sementara menunggu kelab membuat pembayaran gaji.
Ada kelab didakwa gagal membayar gaji pemain berbulan-bulan dan ada yang membuat pembayaran gaji pun tidak membabitkan jumlah penuh tunggakan.
Menurut seorang daripada ejen pemain, beberapa pemain yang berada di bawah pengurusannya berdepan tekanan dan terpaksa melakukan kerja lain untuk mendapatkan wang.
Dia yang enggan namanya didedahkan berkata, ramai pemain yang mengadu berdepan masalah kewangan untuk menyara keluarga selepas tidak dibayar gaji oleh kelab atau majikan.
Katanya, ramai juga pemain yang meluahkan hasrat untuk berhijrah ke pasukan lain, namun mereka tiada pilihan kerana kebanyakan pasukan musim ini berdepan masalah kewangan dan isu tunggakan gaji.
“Pemain tiada plilihan, mereka terpaksa kekal dengan pasukan walaupun ada masalah tunggakan gaji. Banyak pasukan yang ada masalah gaji, jadi kalau berhijrah pun ibarat keluar mulut buaya, masuk mulut harimau.
“Situasi sukar itu menyebabkan pemain terpaksa ikhtiar dengan cara lain untuk mendapatkan wang termasuk dengan meminjam dan menjual barang terutama secara ‘online’.
“Itulah keadaan yang terpaksa dihadapi ramai pemain musim ini termasuk mereka yang ada nama. Jadi, kita berharap kelab dapat menunaikan tanggungjawab mereka untuk menjaga kebajikan pemain.
“Kita juga mohon PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) lebih proaktif dalam perkara ini untuk membela nasib pemain. Semua tahu pasukan mana ada masalah gaji dan keadaan semakin kronik,” katanya kepada BH Sukan.
Difahamkan ada kumpulan pemain memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 hingg RM3,000 sebulan untuk menampung keperluan masing-masing dan ia juga bergantung kepada tahap kewangan mereka sebelum wujud masalah tunggakan gaji terbabit.
Semalam, BH Sukan melaporkan masalah kewangan yang dihadapi kebanyakan pasukan Liga M musim ini menyebabkan ramai pemain tersepit untuk melepaskan diri dari ‘penjara’ tunggakan gaji.
sumber:- BH
Jendela perpindahan kedua Liga M 2024/25 yang berakhir, Ahad lalu tampak suram apabila menyaksikan hanya beberapa pemain sahaja yang terpalit dengan isu tunggakan gaji berjaya ‘lolos’ ke pasukan baharu.