Penambahan dua import seperti diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuktikan sistem pembangunan negara masih lagi belum berjaya melahirkan pemain berkualiti.
Perkara itu disuarakan pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim ynag melihat penambahan pendaftaran kuota import kepada 12 pemain kemungkinan menyekat peluang anak tempatan beraksi terutamanya membabitkan pasukan utama dalam saingan Liga Super.
Beliau berkata, jika situasi terbabit terus berlaku menyaksikan hanya pemain kacukan dan naturalisasi mewakili negara sekali gus menimbulkan persoalan kepada penyokong bola sepak ke mana hilangnya tonggak tempatan.
“Kita kena lihat pendaftaran 12 pemain import adalah selari dengan apa yang dibenarkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). Jika dibenarkan untuk beraksi bersama skuad Liga Super mungkin tempat pemain tempatan berkurangan kerana diisi tonggak import.
“Memang boleh kita menang tapi satu masa nanti kebanyakan yang mewakili negara atau pasukan adalah pemain asing. Situasi ini seperti Indonesia kerana boleh berbangga kejayaan sekarang namun pada masa akan datang tiada pemain tempatan,” katanya, ketika dihubungi ArenaM Metro.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan pasukan yang beraksi dalam pertandingan anjuran AFC dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) berpeluang memperkukuh lagi pasukan selepas MFL membenarkan mereka untuk menambah dua lagi pemain import.
Situasi itu menyaksikan empat pasukan yang berentap di pertandingan luar domestik iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC (SFC), Terengganu FC (TFC) dan KL City FC boleh mendaftarkan maksimum 12 pemain import berbanding 10 pemain sebelum ini.
sumber:- HM
Badan pengendali liga itu menerusi satu kenyataan memaklumkan penambahan kuota pemain import kepada 12 slot itu dibuat susulan keputusan terbaharu AFC yang memperkenalkan peraturan pendaftaran pemain asing tanpa had di dalam pertandingan kelab anjuran badan induk itu.