sukan

Pearly-Thinaah ‘ajar’ wakil tuan rumah

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mara ke suku akhir buat kali kelima berturut-turut apabila berjaya menumpaskan wakil tuan rumah Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan di pusingan kedua Terbuka Hong Kong sebentar tadi.

Turun selaku pilihan ketiga, pasangan nombor lapan dunia itu berada di kelas tersendiri apabila mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-14 dalam tempoh setengah jam di Hong Kong Coliseum.

Menanti mereka di suku akhir esok ialah gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi yang mara selepas mengalahkan satu lagi pasangan tuan rumah, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying 21-8, 21-17.

Sejak Jun lalu Pearly-Thinaah berjaya mara ke suku akhir bermula dengan Terbuka Indonesia, Sukan Olimpik Paris, Terbuka Jepun dan Terbuka Korea secara berturut-turut.

Di Terbuka Korea awal bulan ini mereka berjaya mara sehingga ke perlawanan akhir sebelum dikecewakan pasangan tuan rumah, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong apabila kalah 21-12, 21-11.

Sementara itu, satu demi satu beregu lelaki negara tumbang di pusingan kedua bermula dengan gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang baru bergerak secara profesional.

Berdepan gandingan Indonesia yang berada di ranking ke-11 dunia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin ia tidak menggentarkan Sze Fei-Izzuddin untuk memenangi set pertama 21-16, namun mereka akur pada dua set berikutnya 19-21, 13-21 dalam masa satu jam.

Lim Tze Jian-Wong Tien Ci yang juga bergerak secara profesional kalah kepada Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 9-21, 21-23.

sumber:- HM

Gandingan Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong pula tersingkir selepas kalah kepada wakil Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin 21-18, 13-21, 17-21.