sukan

Vicente sahut cabaran

Pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui peluang untuk skuad negara menempatkan diri dalam Balang Satu pada undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 sebagai satu cabaran besar yang perlu ditempuhi mereka.

Namun bekas jurulatih skuad remaja Barcelona itu akan mengambil cabaran itu supaya skuad negara boleh memiliki sedikit kelebihan pada pusingan kelayakan nanti sekiranya berjaya meletakkan posisi mereka dalam Balang Satu itu nanti.

“Saya rasa kita masih ada masa untuk melihat mengenai undian itu. Buat masa ini, saya fikir kita masa berada dalam Balang Dua tetapi kita juga perlu mengambil cabaran untuk cuba mendapatkan tempat dalam Balang Satu.

“Saya tidak mengatakan kita akan mendapat undian mudah kalau berada dalam Balang Satu tetapi kalau kita dapat mengelak daripada Balang Dua, ia akan memberi kita peluang yang lebih baik nanti (pada Kelayakan Piala Asia 2027),” katanya.

Berdasarkan kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ketika ini, skuad bimbingan Pau Marti secara tidak rasminya berada dalam Balang Dua selepas gagal melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2027.

Peluang terbaik untuk mereka ‘melompat’ ke Balang Satu adalah dengan memintas India namun India sudahpun mengutip 1139.39 mata berbanding Malaysia yang sekadar menghimpun 1107.58 mata.

Jika Malaysia berjaya menduduki Balang Satu, mereka akan berpeluang mengelak pasukan di ranking lebih tinggi selain India seperti Syria, Tajikistan, Thailand, Vietnam dan juga naib juara Pestabola Merdeka 2024, Lubnan.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengakui misi Malaysia untuk ‘memanjat’ ke Balang Satu agak sukar terutama selepas melihat perbezaan jurang mata yang besar antara Malaysia dengan India.

“Saya ingat mungkin susah kerana kita dengan India, (beza) 30 mata. Tetapi bagi saya, saya tidak mengejar itu sama ada Balang Satu ataupun Balang Dua. Apa yang penting kita kena tingkatkan persembahan pasukan dan dapatkan seberapa banyak mata untuk ranking.

“Tetapi kalau dapat (ke Balang Dua) mungkin bagus tetapi saya rasa mencabar sedikitlah. Apa yang mustahak adalah pada pengundian nanti kerana kita kena berhati-hati dengan tiga aksi di tempat sendiri dan tiga aksi di tempat lawan untuk mendapatkan mata.

sumber:- BH

“Kita perlu ingat yang hanya juara kumpulan sahaja akan pergi (Piala Asia 2027), nombor dua tidak dapat pergi sebab kali ini (formatnya) lain sedikit,” kata Hamidin.