sukan

Vicente dedah punca lakukan 6 pertukaran kesebelasan utama

Kejayaan menewaskan Lubnan 1-0 dalam aksi final Pestabola Merdeka 2024 menjadi ‘azimat’ buat Harimau Malaya untuk tampil lebih garang terutama bakal menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2027 tahun depan.

Malah, kemenangan itu juga boleh dianggap sebagai bukti bahawa Harimau Malaya sebenarnya mampu untuk mengatasi pasukan ‘Pak Arab’.

Harimau Malaya berdepan rekod buruk menentang ‘Pak Arab’ dengan kali terakhir skuad negara merekodkan kemenangan ke atas pasukan dari Timur Tengah adalah 10 tahun lalu selepas mengatasi Yaman 2-1 dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2015.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente bagaimanapun menjelaskan pasukannya tidak boleh terlalu selesa dengan situasi semasa dan masih memerlukan perlawanan ‘gred A’ bagi meningkatkan prestasi.

Pengendali dari Sepanyol itu berkata, mentaliti dan semangat juang pemain Harimau Malaya menjadi perkara paling utama menyumbang kepada kejayaan skuad itu.

“Secara peribadi, saya berasa ini keputusan yang bagus. Kami dapat menentang pasukan berkualiti seperti Lubnan sebagai persiapan sebelum kelayakan Piala Asia.

“Kami mahu lihat sejauh mana boleh pergi menerusi perlawanan ini dan berjaya meraih kemenangan. Namun, saya tidak mahu pemain terlalu selesa bagi perlawanan akan datang,” katanya selepas perlawanan.

Sebelum menghadapi kelayakan Piala Asia 2027, Mac tahun depan, Harimau Malaya akan mengharungi beberapa aksi persahabatan termasuk menentang New Zealand, 14 Oktober ini.

Selain itu, Vicente turut mendedahkan punca beliau melakukan enam perubahan dalam senarai kesebelasan utama menentang Lubnan berbanding ketika berdepan Filipina, Rabu lalu.

“Saya berasa semua pemain harus berada dalam kesebelasan utama, jadi saya fikir ini mesej kepada setiap pemain dan semua pemain perlu bersedia untuk bermain. Skuad ini bukan hanya membabitkan 10 pemain atau lima pemain.

sumber:- BH

“Ia membabitkan 26 pemain dan mungkin ada ramai lagi di luar kem yang layak kami tidak pilih. Saya sangat gembira mereka yang dapat menjadi sebahagian daripada pasukan dan maaf kepada yang tidak dapat bermain,” katanya.