Pengendali Lubnan Miodrag Radulovic mengakui barisan pemain Harimau Malaya beraksi dengan baik sepanjang tempoh 90 minit di pentas final Pestabola Merdeka 2024 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Radulovic berkata, barisan anak buahnya beraksi dengan baik namun gol yang dijaringkan Romel Morales boleh dikatakan ‘membunuh’ semangat untuk mencari sekurang-kurangnya jaringan penyamaan pada perlawanan itu.
“Perlawanan yang cukup sukar kerana barisan pemain Lubnan agak menghormati lawan pada 15 minit pertama.
“Kita gagal menyekat jaringan hasil daripada hantaran lintang. Itu kesilapan kita sekali gus memberi kemenangan pada lawan.”Tahniah kepada Malaysia kerana berjaya bergelar juara untuk kejohanan ini. Cuma saya sedikit terkilan dengan kriteria pengadil,” katanya, dalam sidang media selepas tamat perlawanan final Pestabola Merdeka, di sini, sebentar tadi.
Terdahulu, penantian 11 tahun skuad Harimau Malaya untuk menjulang Piala Pestabola Merdeka berakhir selepas merekodkan kemenangan 1-0 menentang Lubnan.
Lebih manis lagi pengendali Harimau Malaya Pau Marti Vicente berjaya mencipta sejarah tersendiri dengan hanya memerlukan dua perlawanan saja bagi membuktikan kewibawaannya untuk menjulang piala.
Pau Marti yang baru saja mengambil alih tugas daripada Kim Pan-gon dua bulan lalu melakukan kejutan apabila merehatkan Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid daripada membarisi kesebelasan utama.
sumber:- HM
Jaringan tunggal disumbangkan Morales pada minit 33 sekali gus mengesahkan kemenangan Malaysia untuk menjulang piala Pestabola Merdeka.