Kapten skuad Harimau Malaya, Dion Cools tidak merasai sebarang tekanan ketika harapan tinggi diletakkan kepada skuad negara untuk menamatkan kemarau trofi dengan memenangi Pestabola Merdeka 2024, malam esok.
Pemain Buriram United itu menyatakan, ini adalah final kedua buat dirinya dan dia lebih suka untuk menjadikan ‘tekanan’ itu sebagai motivasi bagi memberikan yang terbaik pada aksi menentang Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Ini adalah peluang terbaik untuk memenangi pingat dan menambah kejuaraan dalam koleksi saya. Selepas sedikit kontroversi kerana tidak menyimpan pingat perak pada tahun lalu, jadi saya mahu menyimpan pingat emas pada tahun ini.
“Saya lebih suka menjadikannya sebagai satu perkara yang positif dan juga motivasi untuk final nanti,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Subang Jaya, hari ini.
Dalam masa sama, Cools turut mengharapkan penyokong dapat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memberi sokongan kepada mereka pada aksi final.
“Saya harap penyokong boleh datang untuk memberi sokongan kerana kehadiran mereka memberi tenaga kepada kami. Jadi kami perlukan mereka.
“Kami akan cuba yang terbaik kerana kami mahu menjulang trofi ini di hadapan penyokong sendiri,” katanya.
sumber:- BH
Sebagai rekod, Malaysia mengesahkan slot ke final Pestabola Merdeka 2024 selepas menyingkirkan Filipina 2-1 sementara Lubnan mengejutkan juara bertahan, Tajikistan 1-0.