sukan

Harimau Malaya tetap menyerlah

Sudah terbukti tanpa kelibat kumpulan penyokong, Ultras Malaya, skuad Harimau Malaya masih lagi memiliki sengat untuk menewaskan lawan.

Justeru, peminat tidak seharusnya meletakkan keupayaan pasukan negara pada saingan Pestabola Merdeka 2024 kali ini atas sokongan penyokong semata-mata dan ia dibuktikan selepas menjinakkan Filipina 2-1.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail, berkata walaupun Stadium Nasional Bukit Jalil sunyi ketika perlawanan Harimau Malaya dengan Filipina, namun prestasi pemain tetap masih berada pada tahap memuaskan.

Katanya, Ultras Malaya memutuskan mereka tidak akan datang ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada Pestabola Merdeka 2024, justeru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak perlu bimbang dengan keputusan berkenaan.

“Saya tidak setuju apabila ada pihak yang menyarankan supaya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin merayu pada kumpulan penyokong, Ultras Malaya supaya dapat datang ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sokongan pada Harimau Malaya.

“FAM tidak perlu terlalu tunduk pada desakan pihak yang mementingkan diri sendiri yang lupa pada tanggungjawab pada negara, kumpulan terbabit berkeras tidak mahu datang ke stadium…biarkan mereka,” katanya, hari ini.

Jamal berkata, dalam memastikan episod ketiadaan Ultras Malaya pada kejohanan membabitkan skuad kebangsaan pada masa akan datang, mungkin FAM boleh mencari jalan penyelesaian terbaik yang mampu menjernihkan keadaan.

“Saya berharap kumpulan penyokong, Ultras Malaya yang terdiri daripada golongan dewasa dapat memikirkan kejayaan pasukan Harimau Malaya di pentas antarabangsa, kejayaan yang diraih skuad kebangsaan dapat membanggakan rakyat.

“Mungkin Ultras Malaya dapat hadir pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 yang menyaksikan pertemuan Harimau Malaya dengan Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

sumber:- BH

“Tiada yang lebih manis yang ingin dilihat oleh peminat bola sepak tempatan melainkan piala kejuaraan berada dalam dakapan pemain Harimau Malaya,” katanya.