Persiapan cacamerba babitkan pasukan Filipina menjelang aksi pertama saingan Pestabola Merdeka menentang skuad Harimau Malaya malam esok nyata memeningkan kepala pengendali sementara The Azkals, Norman Fegidero.
Jelas Fegidero, masalah terbesar pasukannya adalah mengumpul pemain di mana rata-rata tonggak utama pasukan hanya akan tiba di Malaysia menjelang petang ini.
Katanya, situasi itu terpaksa dihadapi pasukannya susulan beberapa pemainnya yang beraksi di liga luar negara masih memiliki komitmen bersama kelab masing-masing.
“Kami berdepan situasi yang unik, pasukan baru tiba (di Kuala Lumpur) semalam dan ada pemain tiba petang ini. Ia cabaran besar buat kami dalam mempersiapkan pasukan.
“Latihan pertama kami adalah hari ini dan kerja saya untuk membentuk pasukan yang boleh memberi saingan (dalam Pestabola Merdeka),” katanya pada sidang media hari ini.
Begitupun beliau tetap percaya anak buahnya memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa untuk menidakkan hasrat Malaysia meraih kemenangan pada aksi malam esok.
Beliau juga mengakui sudah mengkaji corak permainan Harimau Malaya dan menamakan Safawi Rasid sebagai antara pemain yang harus diberi perhatian oleh pasukannya.
“Saya sudah mengenali semua pemain dalam skuad dan kebanyakan mereka pemain utama dalam kelab masing-masing. Jadi persiapan kami bergantung kepada pengalaman mereka bersama kelab.
sumber:- HM
“(Sasaran) sudah pasti kami mahu menang. Tapi ia bergantung kepada pemain, kami mahu menang untuk penyokong. Semua pemain sangat teruja beraksi dalam kejohanan ini dan mereka akan bagi permainan terbaik,” katanya.