sukan

Tak mahu sembang ‘benda’ tiada — Vicente

Kehadiran dua pemain baharu, Wan Kuzain Wan Kamal dan Mats Deijl bersama skuad Harimau Malaya dalam tempoh terdekat ini sudah pastinya antara perkara dinantikan penyokong bola sepak tempatan yang mahu melihat sejauh mana kehebatan mereka.

Walaupun, ramai yang ‘sembang’ mengenai isu terbabit namun lain pula reaksi pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente yang enggan terlalu memikirkan ‘benda tiada’ di depan matanya dan dia lebih meletakkan fokus untuk membangunkan pemain dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat ketika ini.

Beliau berkata, ketika ini perkara penting adalah untuk bekerja keras mengenal pasti lebih ramai pemain berstatus warisan berpengkalan di luar negara yang berpotensi untuk mewakili skuad kebangsaan kelak.

“Kita ada senarai panjang nama pemain warisan yang memiliki pilihan untuk beraksi dengan Malaysia. Namun sekarang bukanlah masa yang sesuai buat saya komen mengenai peribadi mereka.

“Sekiranya sudah pasti nanti, barulah saya akan bercakap mengenai mereka. Cuma, saya boleh sahkan bahawa kami sentiasa meneliti dan mencari pilihan (pemain warisan) sekiranya ada.

“Pada masa sekarang, lebih baik kita fokus dengan senarai 26 pemain yang dipanggil untuk mengharungi Pestabola Merdeka kali ini,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.

Untuk rekod, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan Wan Kuzain dan Deijl berpotensi besar untuk memperkuat skuad kebangsaan pada masa akan datang.

sumber:- HM

Hamidin berkata, Deijl yang ketika ini beraksi bersama Go Ahead Eagles di Eredivisie menghubungi Vicente dan sudah menyatakan hasrat dan kesediaan untuk bersama skuad Harimau Malaya.