sukan

Skrip sama berulang — Nafuzi

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain kesal kerana skrip keciciran mata di hujung perlawanan kembali berulang apabila skuadnya diikat 2-2 oleh Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman petang semalam.

Apa yang dilalui Kedah ini mengulangi aksi ketika menentang Kuching City FC (KCFC) pada 26 Julai lalu di mana Kedah turut mendahului sebelum pihak lawan menyamakan kedudukan 1-1 di saat akhir perlawanan.

Pada aksi petang semalam, Kedah berjaya mendapat dua gol melalui jaringan Sony Norde pada minit ke-52 dan gol kedua oleh Jose Cleylton pada minit ke-61 selepas ketinggalan satu gol pada babak pertama hasil jaringan Jacque Faye di hujung babak pertama.

Namun, jaringan penyamaan Faye pada minit ke-78 sekali gus meranapkan impian Kedah untuk memperoleh tiga mata berharga yang diidamkan untuk bangkit semula selepas dua aksi tanpa kemenangan sebelum ini.

“Walaupun dari segi perlawanan tetap ada perkara positif buat Kedah kerana di babak kedua ada peningkatan yang ketara, tetapi inilah bola sepak di mana kita berusaha tetapi akhirnya tiada rezeki untuk menang dan sekadar mendapat keputusan seri,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Nafuzi turut mengakui jentera serangannya sedikit hilang fokus dalam memburu gol di babak pertama sehingga gagal mendapatkan gol awal.

“Milos Gordic yang ditugaskan di bahagian sebelah tepi tetap berpeluang untuk menjaringkan gol, namun mungkin juga keyakinan dia agak berkurangan sedikit dan kita membuat penukaran memasukkan Fayadh Zulkifli pada babak kedua.

sumber:- BH

“Kemasukan Fayadh memberi impak namun cuma keputusan perlawanan yang tidak memihak kami untuk mendapat tiga mata,” katanya.