sukan

Janji Faisal aksi berdepan JDT

Kejayaan menjulang Piala Sultan Selangor 2024 menjadi motivasi dan semangat tambahan buat Selangor FC menjelang aksi final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pemain sayap Selangor, Faisal Halim menjelaskan fokus pasukannya selepas ini adalah terhadap final Piala FA dan mereka akan berusaha memberikan yang terbaik untuk penyokong Gergasi Merah.

Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey berkata, Selangor akan berjuang habis-habisan sambil menegaskan mereka bukan hadir ke Stadium Nasional.

“Kemenangan (Piala Sultan Selangor) malam ini sudah tentu moral dan semangat (untuk) dibawa ke final Piala FA. Satu perlawanan menang atau pun kalah.

“Jadi tiada benda (untuk) simpan, kami berikan yang terbaik untuk penyokong dan rakyat Selangor. Kami pergi untuk berjuang, bukan sekadar melengkapkan final,” katanya.

“Kami janji beri yang terbaik untuk penyokong, rakyat Selangor dan apa saja keputusan sekalipun kami kena terima sebab kita pergi untuk berjuang bukan pergi sekadar melengkapkan final,” katanya selepas perlawanan Piala Sultan Selangor 2024 di Stadium Merdeka, malam tadi.

Selangor mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Selangor buat kali ketiga berturut-turut sejak 2018 apabila menewaskan Pilihan Singapura 2-1 di Stadium Merdeka, malam tadi.

Aksi di gelanggang penuh bersejarah itu turut menyaksikan Faisal diletakkan dalam kesebelasan utama Selangor dan memakai lilitan kapten buat kali pertama musim ini.

Beraksi 45 minit dalam babak pertama perlawanan itu, ia turut menjadi petanda positif buat Faisal sebelum mengharungi aksi lebih sukar berdepan JDT.

Pemain berusia 26 tahun itu bagaimanapun menegaskan dia masih memerlukan masa untuk kembali kepada persembahan maksimum.

“Bagi saya, (memakai lilitan) kapten bukan sesuatu yang penting. Namun, persembahan saya lagi penting, bagaimana saya nak beraksi dan memacu pasukan untuk 45 minit.

“Alhamdulillah kami jalankan tanggungjawab dengan baik, cuma tak jaringkan gol. Saya berasa banyak benda lagi saya perlu buat dan tambah. Saya ingin banyak masa lagi untuk perbaiki persembahan.

sumber:- BH

“Saya bagi setakat mana saya mampu dan saya berasa 45 minit bukan permainan saya yang sebenar. Kalau nak bandingkan sekarang dengan (prestasi) asal, saya belum sampai tahap maksimum,” katanya.