Hajat pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk bergelar pelumba keempat terbaik dalam acara keirin di Olimpik berkecai selepas dia disahkan sekadar menduduki tangga keenam pada final yang berlangsung di Velodrom Saint Quentin en Yveline.
Biarpun pada satu ketika Shah Firdaus dikatakan menduduki tangga keempat, namun insiden perlanggaran babitkan dirinya bersama pelumba Jepun, Shinji Nakano dan pelumba Great Britain, Jack Carlin meletakkan Shah Firdaus dalam status REL (disingkirkan).
Pemberian status itu difahamkan ekoran tindakannya menghalang terlebih dulu Nakano sebelum berlakunya perlanggaran.
Lantas, Shah Firdaus Dia yang tidak dapat menamatkan perlumbaan diturunkan untuk berada di kedudukan keenam manakala Nakano dan Carlin yang turut terbabit dengan pelanggaran diklasifikasikan sebagai DNF (tidak menamatkan perlumbaan).
Perlumbaan final itu dimenangi pelumba Belanda, Harrie Lavreysen untuk merangkul pingat emas ketiganya di Paris selepas turut memenanginya dalam acara pecut individu dan berpasukan.
Pingat perak menjadi milik pelumba Australia Matthew Richardson manakala rakan senegaranya, Matthew Glaetzer membawa pulang gangsa.
Keputusan itu menyaksikan misi Malaysia untuk menamatkan penantian meraih emas sulung Olimpik berterusan dengan Shah Firdaus menjadi wakil terakhir negara diletakkan sandaran untuk merealisasikannya pada temasya di Paris.
sumber:- HM
Jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang sebelum ini disingirkan di pusingan pertama, awal pagi tadi.Penyertaan pemenang perak Olimpik Tokyo 2020 itu dibatalkan selepas didapati mendahului derny (pacer).