sukan

Rayuan Azizulhasni ditolak ketua komisar

Ketua Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan rayuan babitkan insiden pembatalan penyertaan jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang ditolak oleh ketua Komisar.

Jelas Hamidin, pihaknya cuba membantu Azizulhasni dengan mengemukakan rayuan namun kesilapan teknikal ‘The pocketrocketman’ itu tidak diendahkan, sekali gus penyertaannya dibatalkan.

“Saya memaklumkan bahawa pihak kami telah mengemukakan rayuan terhadap insiden membabitkan pembatalan penyertaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang OLY pada perlumbaan keirin lelaki.

“Bagaimanapun, Ketua Komisar dan wakil badan induk dunia UCI mengekalkan keputusan membatalkan penyertaan Azizulhasni akibat memintas derny atau motorsikal yang menentukan rentak di hadapan kelompok pelumba sebelum motorsikal keluar daripada gelanggang perlumbaan.

“Kontinjen Malaysia dengan berat hati menerima keputusan ini dan akan memberi sokongan moral tidak berbelah bagi kepada beliau.

“Pada masa yang sama pihak Institut Sukan Negara (ISN), juga akan menyediakan perkhimatan sokongan kepada Dato’ Mohd Azizulhasni dalam berdepan dengan situasi yang sukar ini,” kata Hamidin.

Terdahulu, harapan pingat emas pertama negara di pentas Olimpik lebur selepas Azizulhasni sah tersingkir dalam pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024.

Azizul berada di heat pertama bersama dua finalis edisi lalu, Matthew Glaetzer dan Jair Tjon En Fa selain Ota Kaiya, Rayan Helal serta Jeffrey Hoogland.

Dia yang mulakan saingan di kedudukan keenam, cuba membuat gerakan awal dengan memotong pelumba lain sebelum pacer keluar daripada trek.

Begitupun, Azizul dikesan turut melepasi pacer dan perlumbaan itu kemudiannya dibatalkan dan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 dan pingat gangsa Olimpik Rio 2016 terpaksa disingkirkan daripada saingan.

sumber:- HM

Perlumbaan heat pertama itu dimenangi Matthew Glaetzer dari Australia dan pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland yang mara terus ke suku akhir.