Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri meneruskan langkahnya di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila mara ke pusingan final acara 3 meter (m) papan anjal wanita.
Dalam saingan separuh akhir yang berlangsung hari ini, penerjun berusia 25 tahun itu berjaya melayakkan diri ke final yang berlangsung esok apabila mengumpul 286.95 mata untuk berada di kedudukan kelapan terbaik daripada 18 peserta.
Nur Dhabitah meraih 67.50 mata di terjunan pertama sebelum melakukan 55.50 mata di terjunan kedua dan 46.50 mata di terjunan ketiga.
Dia kemudian meraih 57 mata pada terjunan keempat sebelum terjunan terakhirnya menjelmakan 60.45 mata bagi menghasilkan jumlah keseluruhan 286.95 mata.
Turut berada dalam kelompok 12 terbaik ke final adalah atlet Itali, Chiara Pellacani dari Itali; Yani Chang (China); Alejandra Estudillo Torres (Mexico); Maddison Keeney (Australia); Julia Vincent (Afrika Selatan); Yiwen Chen (China); Grace Reid (Great Britain) dan Saskia Oettinghaus (Jerman); Valeria Antolino (Sepanyol).
Atlet Sweden, Emilia Nilsson Garip turut berada dalam senarai ke final bersama Yasmin Harper (Great Britain).
Semalam, Nur Dhabitah melangkah ke separuh akhir 3m papan anjal selepas menduduki tangga ke-12 daripada 28 peserta dalam acara kelayakan dengan mengumpul 283.65 mata selepas lima terjunan di Pusat Akuatik Saint-Denis.
Pada edisi di Tokyo 2020, Nur Dhabitah menamatkan saingan 3m individu di tempat keempat dengan 326.15 mata manakala gandingannya bersama Datuk Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama menemui penamat di tempat tercorot daripada lapan negara.
sumber:- BH
Pada penampilan sulungnya di Olimpik di Rio 2016, Nur Dhabitah menamatkan acara 3m papan anjal seirama di tempat kelima daripada lapan negara bersama Cheong Jun Hoong.