Atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri mengakui dia sangat lega kerana dapat bangkit semula pada dua terjunan terakhir, sekali gus kekal dalam misi memburu pingat selepas mara ke final 3 meter (m) papan anjal Sukan Olimpik 2024 di Paris.
“Ya Allah, lega sangat sebab di pertengahan, prestasi saya mula turun, tapi yang penting saya kena kawal mood dan gemuruh ketika itu untuk naikkan kembali kedudukan.
“Mestilah nak (cabar pingat esok), tapi kita tahu persaingan sangat sengit dan satu kesilapan kecil, boleh hilang mata. Jika hendak dapat markah tinggi, kena betul-betul lakukan terjunan sempurna,” katanya yang pernah membuat penampilan pada edisi 2016 di Rio dan Tokyo 2020.
Ketika penampilan sulungnya di Rio, Nur Dhabitah menamatkan saingan di tempat kesembilan dalam acara 10m platform individu dan kelima dalam acara 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Cheong Jun Hoong.
Di Tokyo, dia terlepas kedudukan podium apabila menamatkan saingan di tempat keempat acara 3m papan anjal individu.
Datuk Pandelela Rinong meraih pingat pertama Malaysia dalam acara terjun apabila memenangi gangsa acara 10m platform wanita di London 2012 sebelum menang pingat perak bersama Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama di Rio 2016.
sumber:- HM
Seorang lagi wakil negara dalam acara terjun di Paris 2024, Bertrand Rhodict Lises akan memulakan kempen dalam acara 10m platform lelaki, esok.