sukan

Cabaran jurulatih julang Dhabitah

Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri bersyukur apabila mampu kembali bangkit daripada ketinggalan terutama pada terjunan keempat dan kelima sekali gus melayakkan dirinya berada dalam kelompok 12 peserta yang mara ke pentas final esok.

Nur Dhabitah yang menyertai acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita atas tiket wild card berkata, dia berpuashati dengan terjunan pertama dan kedua namun prestasinya menurun di terjunan ketiga pada aksi separuh akhir itu.

Namun, kata-kata semangat daripada jurulatih membuatkan dirinya kembali bangkit pada dua lagi baki terjunan sekali gus meletakkan dirinya di kedudukan kelapan daripada 12 peserta yang layak ke final.

“Terjunan pertama sangat baik untuk saya tetapi yang kedua, tidaklah terlalu teruk. Yang ketiga saya agak bergelut dan dua lagi baki (terjunan), jurulatih memberikan kepercayaannya kepada saya untuk kembali bangkit.

“Dia (jurulatih) kata ‘OK, selepas ini aku nak tengok bagaimana kamu bangkit semula’,” kata Nur Dhabitah dalam satu hantaran audio disediakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Pada saingan separuh akhir itu, penerjun berusia 25 tahun itu mara ke final selepas mengumpul 286.95 mata untuk berada di kedudukan kelapan daripada 18 peserta.

Hanya 12 peserta daripada saingan mara ke pentas final di Pusat Akuatik Paris esok.

Ditanya mengenai sekiranya dia ingin mencipta kejutan di pentas final, Nur Dhabitah berkata, sudah tentu setiap atlet menginginkannya namun mengakui persaingan di Paris 2024 begitu sengit.

“Bukan tak nak, tapi persaingan sangat sengit. Kalau nak bagus, meraih mata tinggi… kena buat betul-betul. Semua orang mempunyai pertarungan sendiri (di sini),” kata Nur Dhabitah.

sumber:- BH

Pada edisi Tokyo 2020, Nur Dhabitah menamatkan saingan individu di tempat keempat dengan 326.15 mata manakala gandingannya bersama Datuk Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama menemui penamat di tempat tercorot daripada lapan negara.