sukan

Perancis mara ke Final Olimpik

Jean-Philippe Mateta meledak dua gol dan Michael Olise menambah gol ketiga apabila Perancis bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Mesir 3-1 selepas masa tambahan awal pagi tadi sekali gus mencetus pertembungan final dengan Sepanyol dalam acara bola sepak lelaki Sukan Olimpik.

Perancis kendalian Thierry Henry kelihatan berada di ambang kekalahan pada separuh akhir di Lyon apabila Mahmoud Saber meletakkan Mesir di depan selepas sejam.

Namun Mateta, penyerang Crystal Palace, menyamakan kedudukan menerusi umpanan Olise dengan perlawanan berbaki tujuh minit.

Mesir beraksi 10 pemain pada permulaan masa tambahan apabila pertahanan tengah Omar Fayed dibuang padang dan tuan rumah menggunakan kelebihan itu dengan Mateta menanduk masuk gol kedua.

Olise kemudian melengkapkan kemenangan itu pada minit ke-108 dan Perancis, mengintai pingat emas bola sepak lelaki Olimpik kali kedua sejak 1984, kini berdepan Sepanyol pada final di Parc des Princes, Paris awal pagi Sabtu ini.

Sepanyol, pemenang emas pada tahun 1992 dan pingat perak di Tokyo tiga tahun lalu, terlebih dahulu layak selepas turut bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Maghribi 2-1 di Marseille.

sumber:- BH

Mesir dan Maghribi akan bertemu di Nantes awal pagi Jumaat ini bagi penentuan pingat gangsa antara dua negara Afrika Utara. – AFP