Tiga kelab disahkan sedang mengalami tunggakan gaji selepas ia berjaya dikesan menerusi pemeriksaan terhadap laporan kewangan sebelum Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB) dikuatkuasakan.
Ia didedahkan oleh FFP FIB menerusi satu kenyataan media hari ini.
“FFP FIB telah melakukan pemeriksaan terhadap laporan kewangan yang diserahkan oleh semua kelab Liga Super sebelum tarikh akhir 16 Julai 2024.
“Pemeriksaan serahan laporan kewangan kelab Liga Super adalah proses fasa pertama dalam pengenalan peraturan FFP dalam Liga Malaysia bermula musim 2024-2025.
“Berdasarkan pemeriksaan dokumen-dokumen laporan kewangan itu, FFP FIB mendapati lapan kelab telah berjaya menyerahkan laporan kewangan pertama FFP dengan lengkap tanpa sebarang tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN Perkeso dan EIS Perkeso setakat Jun 2024.
“Bagaimanapun terdapat dua kelab yang tidak menghantar laporan kewangan pertama FFP pada tarikh akhir 16 Julai 2024, namun berjaya menyelesaikannya selepas diberikan lanjutan masa sehingga 31 Julai 2024 oleh pihak FIB FFP.
“Daripada pemeriksaan dokumentasi yang diserahkan kesemua kelab, didapati bahawa tiga kelab mempunyai tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN Perkeso dan EIS bagi bulan Mei dan Jun 2024, manakala dua kelab lagi perlu menghantar dokumen kewangan tambahan.
“Kesemua kelab terbabit diarahkan oleh FFP FIB untuk menyelesaikan tunggakan dan menyerahkan dokumen kewangan tambahan sebelum tarikh akhir 15 Ogos 2024,” kata kenyataan itu.
Ujar lagi, kegagalan kelab terbabit menyelesaikan tunggakan itu bakal menyebabkan sekatan perpindahan pemain dikenakan ke atas tiga kelab itu.
“Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan kelab tersebut dikenakan sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan akan datang,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Kuala Lumpur City FC (KL City) dilaporkan antara pasukan yang sedang mengalami isu tunggakan gaji.
sumber:- HM
Selain itu, laporan media sebelum ini turut mengaitkan beberapa pasukan seperti Kedah Darul Aman FC, Perak FC, Sabah FC dan Sri Pahang FC dikatakan bergelut dengan masalah, gaji biarpun musim Liga Malaysia baharu saja membuka tirainya pada Mei lalu.