sukan

Aksi paling gila – Chong Wei

Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan aksi penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris membabitkan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, semalam sebagai aksi paling gila pernah disaksikannya.

Legenda badminton negara itu, berkata meskipun Aaron-Wooi Yik suatu ketika di ambang kekalahan tetapi kedua-dua pemain itu mempamerkan kebangkitan menakjubkan untuk mempertahankan gangsa yang dimenangi mereka pada edisi 2020 di Tokyo, tiga tahun lalu.

“Antara perlawanan yang paling mendebarkan pernah saya saksikan. Tahniah Aaron-Wooi Yik. Gila lah ‘game’ ni.

“Perlawanan yang sepatutnya mereka kalah tetapi gandingan lelaki sejati Melaka-Kuala Lumpur ini selangkah demi selangkah mengembalikan harapan untuk lencana di dada.

“Terima kasih Aaron-Wooi Yik, andalah hero negara sekali lagi. Malaysia sekarang secara rasmi berada di tangga pingat Sukan Olimpik.

“Tahniah Aaron-Wooi Yik. Saya tidak mahu anda menjadi macam saya. Tiga medal dengan warna yang sama. Saya doakan anda mendapat warna (pingat) yang lain,” tulis Chong Wei di laman Facebook miliknya.

Semalam, Aaron-Wooi Yik menyumbang pingat pertama kontinjen Malaysia di Olimpik Paris susulan kejayaan merangkul gangsa.

Pasangan nombor tiga dunia itu kembali bangkit untuk Astrup-Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 di Porte de La Chapelle Arena.

Selepas tewas di set pertama, Aaron-Wooi Yik berada di ambang kekalahan apabila ketinggalan 16-20 di set kedua tetapi mereka mencetus kebangkitan menakjubkan apabila mengutip enam mata berturut-turut untuk memenangi set kedua 22-20 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

sumber:- BH

Set ketiga berlangsung dengan sengit khususnya di penghujung permainan apabila pasangan negara membenarkan gandingan Denmark itu mengejar sehingga 19-19 namun Aaron-Wooi Yik kekal tenang untuk meraih pingat gangsa dengan keputusan 21-19.