sukan

Olimpik: Maghribi bergaya belasah Amerika untuk ke separuh akhir

Kapten Achraf Hakimi antara penjaring gol ketika Maghribi mengungguli Amerika Syarikat (AS) 4-0 hari ini untuk layak ke separuh akhir bola sepak lelaki Sukan Olimpik Paris 2024.

Soufiane Rahimi membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti sebelum Ilias Akhomach dan Hakimi menambah gol pada babak kedua dengan satu lagi penalti oleh Mehdi Maouhoub melengkapkan kemenangan besar itu.

Selepas muncul juara kumpulan mereka di depan Argentina, Maghribi dilihat sebagai antara pencabar utama pingat emas dan layak ke separuh akhir Isnin ini di Marseille menentang sama ada Jepun atau Sepanyol.

Sebilangan besar komuniti Maghribi di Perancis hadir sejak minggu lalu untuk memberikan sokongan kepada pasukan mereka, yang hadir ke temasya itu selepas menjuarai Piala Negara Afrika B-23 tahun lalu.

Mereka tampil dengan pasukan mantap, diketuai oleh salah seorang pemain pertahanan terbaik dunia Hakimi dengan dua pemain sayap bertenaga Akhomach dan Abde Ezzalzouli di samping penyerang prolifik Rahimi.

AS tidak kelihatan akan bangkit selepas Rahimi menyempurnakan sepakan penalti sejurus sebelum setengah jam selepas dia dikasari dalam kawasan penalti oleh Nathan Harriel.

Rahimi, yang memperagakan aksi kelabnya di Emiriah Arab Bersatu dan salah seorang tiga pemain lebih umur Maghribi di Sukan Olimpik, adalah penjaring gol terbanyak kejohanan itu dengan lima gol dalam empat perlawanan.

Miles Robinson terlepas peluang baik buat AS sebelum setengah jam, tetapi Maghribi menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-63.

Ezzalzouli menghasilkan persembahan memukau di sayap kiri sebelum mengumpan kepada bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Akhomach yang menyudahkan gol dekat dengan tiang gol.

sumber:- BH

Hakimi, yang beraksi di laman sendiri kelabnya Paris Saint-Germain, kemudian menjadikan kedudukan 3-0 dengan berbaki 20 minit sebelum pemain gantian Maouhoub menambah satu lagi penalti pada masa kecederaan apabila Harriel dipersalahkan kerana memegang bola dan susulan semakan VAR. – AFP