sukan

Debaran Empat gergasi

Empat pasukan kini hanya ‘dua tapak’ untuk melangkah ke final Piala FA selepas masing-masing akan bertemu pada separuh akhir pertama Piala FA 2024, malam ini.

Kedah Darul Aman (KDA) FC akan melayan kunjungan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman sementara Selangor FC akan bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk berdepan Terengganu FC (TFC).

Pertahanan KDA FC sedang menikmati ‘detik manis’ apabila mengharungi lima aksi terakhir tanpa bolos membabitkan pertembungan menentang Bukit Tambun FC, Penang FC sebanyak tiga kali dan juga Kelantan Darul Naim (KDN) FC.

Bagaimanapun, kekebalan benteng skuad Kenari akan teruji sepenuhnya dalam mengatasi ‘ombak serangan’ daripada skuad ‘Harimau Selatan’ yang belum lagi tewas dan sudah tentu bernafsu untuk mempertahankan kejuaraan dimenangi mereka musim lalu.

Jentera serangan mereka tidak boleh dipandang enteng selepas mereka meledak 31 gol dalam tujuh perlawanan sepanjang musim ini – satu angka yang boleh bertambah jika pertahanan KDA FC tidak menunjukkan prestasi lebih mantap pada malam ini.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain perlu berwaspada kerana JDT tidak pernah meninggalkan padang tanpa meledak sebaran gol dengan tiga gol menjadi keputusan ‘terburuk’ mereka bagi musim ini.

Namun JDT sudah dibolosi tiga gol setakat ini sekali gus membuktikan ada ruang yang boleh diintai KDA FC dalam misi mencari gol pada aksi pertama yang berlangsung di laman sendiri nanti.

Sementara itu, skuad ‘Penyu’ perlu memanfaatkan situasi ‘The Red Giants’ yang ketika ini agak bergelut dengan masalah prestasi khususnya dalam tiga perlawanan terakhir.

Mereka terpaksa berhempas pulas untuk membenam cabaran Kuching City FC menerusi sepakan penalti penentuan pada suku akhir Piala FA sebelum dikejutkan seteru tetangga, KL City FC 0-1 pada aksi Liga Super, minggu lalu.

Perkembangan ini sudah pasti sedikit meresahkan pengendali, Nidzam Jamil selepas SFC seakan hilang ‘sengat’ tidak seperti diperagakan mereka dalam empat perlawanan pertama dengan empat kemenangan berturut-turut.

Apapun, sudah pasti Nidzam ada ‘formula’ terbaik untuk menangani TFC yang memiliki momentum terbaik dengan mereka belum lagi tewas dalam tujuh perlawanan.

sumber:- BH

Skuad bimbingan Tomislav Steinbrucker ‘mengamuk’ apabila membenam Sabah FC 7-0 secara agregat pada suku akhir Piala FA dan rentak sama pasti ditagih untuk mengecewakan SFC apatah lagi di laman sendiri.