“Adakah mereka benar-benar memahami usaha dan pengorbanan di sebalik seorang atlet?”
Itu antara luahan kekecewaan pemain badminton perseorangan lelaki negara, Justin Hoh selepas dikritik peminat ‘Badminton Lovers’ (BL) selepas tewas straight set kepada pemain Taiwan, Cheng Kai , 12-21, 20-22 di Terbuka Marianas Utara, Ahad lalu.
Peminat yang menggelarkan dirinya sebagai BL menyatakan, Justin tidak boleh mengharapkan pukulan smash semata-mata untuk mendapatkan mata, sebaliknya perlu bermain dengan lebih bijak di dalam gelanggang.
Malah, individu itu turut membandingkan pemain ranking ke-92 dunia itu dengan bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dengan menyatakan dia gagal mengagak ketepatan arah bola selain menyamakan Justin dengan pemain profesional negara, Lee Zii Jia yang suka memberi mata percuma kepada lawan begitu sahaja.
“Hi Justin, mental kena kuat jangan harapkan ‘power smash’ sahaja, bola banyak keluar, harapkan bola ‘out opponent (miss judgement) mean u are not work hard and skillfull’.
“Lee Chong Wei tak akan biarkan bola keluar kalau tidak yakin 80 peratus bola itu akan keluar dan selalu ‘backhand’ semula bola itu tepat serta tidak selalu keluar.
“Kamu ikut penyakit bola keluar dari Zii Jia ke? Janganlah tanya bekas sifu, apa kelemahan (diri sendiri) sebab Cheng Kai (pemain Taiwan) dapat mata daripada bola keluar dan bola tak nak ambil. Nampak sangat sikap dalam perlawanan tak bersungguh dan agak malas. Harap bola keluar dari pihak lawan saja (dapatkan mata). Maaf saya cakap macam ini sebab saya rasa kamu sangat berpotensi tapi disiplin dalam permainan kurang.
“Akak (Kakak) ini badminton lover la. Kita cakap sebab kita nak kamu jadi lebih bagus. Kadang-kadang kamu tidak nampak tapi BL nampak suka sebab kamu ada potensi jadi juara dunia. Tapi kalau kamu sebagai pemain, muda lagi tidak boleh terima. Sangat kurang sikap,” katanya secara peribadi di Instagram (IG) Justin.
Perkara itu mendapat perhatian Justin yang menyangkal kembali pendapat peminat setia badminton itu yang seolah-olah tidak nampak usaha serta pengorbanan dilakukan mereka.
“Saya benar-benar tidak faham mengapa orang sekarang mempunyai banyak sangat pendapat.
“Adakah mereka benar-benar memahami usaha dan pengorbanan di sebalik seorang atlet?” katanya menerusi perkongsian di IG.
Terdahulu, setakat Julai 2024, pemain berusia 20 tahun merangkul kejuaraan pertama di Terbuka Slovenia pada Mei lalu selain turut cemerlang dalam beberapa kejohanan disertai.
Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu baru pulih daripada kecederaan putus achilles tendon pada kaki kirinya pada April tahun lalu sehingga menyebabkan dia terpaksa berehat selama lapan bulan sebelum kembali menyertai beberapa kejohanan tahun ini.
sumber:- HM
Dia turut menjadi sandaran selaku pemain perseorangan lelaki ketiga di saingan Piala Thomas yang berlangsung di Chengdu, China, April lalu.