sukan

Safawi kembali jadi tumpuan

Selepas beberapa perlawanan hanya beraksi sebagai pemain gantian akhirnya tonggak Harimau Malaya Safawi Rasid disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Taiwan, malam ini.

Berdasarkan senarai kesebelasan utama dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyaksikan pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon mengekalkan hampir keseluruhan pemain utama ketika bertemu Kyrgyzstan, tempoh hari.

Jurulatih berasal dari Korea Selatan itu hanya membuat tukaran pemain dengan menyenaraikan Safawi untuk menggantikan Stuart Wilkin pada aksi terakhir Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Jelas sekali, Pan-gon menagih magis daripada pemain berusia 27 tahun itu untuk merobek gawang Taiwan yang memerlukan jaringan besar bagi membuka peluang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Selain itu, Pan-gon mengekalkan Azri Ghani di posisi penjaga gol dengan bahagian benteng dibarisi Matthew Davies, Dominic Tan, Safwan Mazlan dan La’vere Corbin Ong.

Bahagian tengah pula kali ini diisi Nooa Laine dan Endrick Dos Santos manakala Paulo Josue, Akhyar Rashid dan Dion Cools memainkan peranan di bahagian serangan.

Skuad kebangsaan sebelum ini menewaskan Taiwan di laman lawan dengan kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan pemain gantian, Darren Lok.

Malaysia kini menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata selepas lima perlawaan hasil dua kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

sumber:- HM

Berdasarkan kepada kedudukan semasa, Malaysia perlu menang sekurang-kurangnya 8-0 sambil mengharapkan Oman mampu menjinakkan Kyrgyzstan dalam usaha menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya.