sukan

Satu Gol yang penting untuk Malaysia

Harimau Malaya perlu mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol awal dalam usaha menjayakan misi sukar meraih kemenangan besar ke atas Taiwan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, malam esok.

Skuad kendalian Kim Pan Gon memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya lapan gol sambil mengharapkan Kyrgyztsan tewas kepada Oman untuk melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027.

Pemain tengah menyerang, Paulo Josue menegaskan fokus sepenuhnya daripada semua pemain menjadi perkara paling penting buat Harimau Malaya untuk berpesta gol di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti.

“Sebagai pemain di posisi serangan, sudah tentu agak sukar untuk kami mendapatkan jaringan besar seperti 7-0. Namun, pada masa kami harus memiliki keyakinan dan memberikan aksi yang terbaik.

“Kami tidak boleh mensia-siakan peluang yang ada dan jika pasukan dapat meraih satu gol awal lebih bagus sebelum memikirkan langkah seterusnya. Kami juga perlu memastikan tidak bolos,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Harimau Malaya ketika ini berada di kedudukan ketiga Kumpulan D dengan mengumpul tujuh mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan yang turut memiliki kelebihan lapan gol dari segi jumlah perbezaan jaringan dengan Malaysia.

Taiwan yang sudah sah terkeluar dari persaingan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Sementara itu, kapten Taiwan, Chen Po Liang menegaskan bahawa Harimau Malaya tidak akan berdepan laluan mudah untuk menewaskan mereka terutama dengan jaringan besar.

sumber:- BH

“Ini adalah perlawanan terakhir (Kumpulan D) dan ini peluang kami untuk meraih mata. Sudah tentu kami datang ke sini untuk menang dan kami melakukan persiapan terbaik. Tidak mudah untuk Malaysia menewaskan kami,” katanya.