sukan

Pan Gon dedah tekanan bimbing Malaysia

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon sekali lagi mendedahkan tentang tekanan besar dihadapinya dalam membimbing skuad Harimau Malaya sejak mengambil alih tugas pada Januari 2022.

Menjelang pertemuan penting menentang Taiwan dalam aksi terakhir Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam esok, jurulatih berusia 55 tahun dari Korea Selatan itu berkata tekanan dialaminya kini lebih besar daripada jangkaan.

Bekas pengarah pasukan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) itu berkata tekanan itu semakin meningkat setiap hari dan setiap kali dia mencapai sesuatu dengan pasukan.

“Tekanan ini lebih daripada jangkaan dengan barisan kejurulatihan banyak menyumbang perkara baik ke arah mengubah falsafah pasukan kebangsaan. Mencorak ciri-ciri pasukan dan kadar kemenangan perlawanan di laman sendiri jauh lebih tinggi daripada sebelumnya.

“Kami layak secara merit ke Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh lebih 40 tahun dan mencabar kelayakan Piala Dunia sehingga saat terakhir. Persekitaran seperti ini kita sediakan kepada negara di sini tetapi tidak menjangkakan lebih banyak tekanan dari semasa ke semasa.

“Dari hari pertama saya di sini, sokongan sangat baik, semua orang menyokong, segala yang saya minta disediakan. Tetapi, dari semasa ke semasa, apabila saya mencapai sesuatu….saya tidak tahu sama ada ia negatif…inilah yang saya rasa,” katanya pada sidang media praperlawanan Malaysia-Taiwan di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Bagaimanapun Pan Gon menegaskan mereka akan berjuang dalam apa jua keadaan tanpa berputus asa atau rasa gementar dan meneruskan semangat untuk terus maju ke hadapan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan Korea Selatan berhubung cabaran yang dihadapinya sebagai jurulatih asing di sini termasuk terpaksa berdepan harapan tinggi disandarkan kepada Harimau Malaya.

sumber:- HM

Ini kali kedua dalam tempoh enam bulan Pan Gon membuat kenyataan mengenai tekanan dihadapinya dengan pasukan kebangsaan dengan pertama kali semasa sidang media praperlawanan menjelang pertemuan terakhir kumpulan E Piala Asia 2023 menentang Korea Selatan di Doha, Qatar, Januari lalu.