sukan

Adakah anda masih ingat, pasukan anda juga dibolosi empat gol — Pan Gon

Amukan Harimau Malaya ditagih oleh pengendali pasukan, Kim Pan-gon apabila anak buahnya turun menentang Taiwan dalam aksi terakhir Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Jaringan 10-0 atau 8-0 tanpa bolos adalah sasaran Pan-gon yang percaya Malaysia masih berada di landasan tepat untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan melangkah automatik ke Piala Asia 2027 nanti.

Menurut Pan-gon, kemenangan besar itu tidak mustahil untuk dilakukan kerana skuad kendaliannya pernah meraih keputusan 10-0 ke atas Papua New Guinea yang berada pada kedudukan ranking lebih tinggi daripada Malaysia pada pertengahan tahun lalu.

Lantas, aksi berdepan Taiwan di depan ribuan penyokong setia Harimau Malaya perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh barisan pemain negara yang akan berjuang nanti.

“Kami pernah menang 10-0 ke atas Papua New Guinea yang menduduki ranking lebih tinggi daripada kami, waktu itu kami menang besar. Kami yakin dapat lakukan sesuatu (di Bukit Jalil ke atas Taiwan),” katanya.

Atas kertas, skuad negara wajib menang lebih daripada tujuh gol tanpa dibolosi sambil mengharapkan Kyrgyzstan tewas dengan defisit lebih satu gol.

Ini kerana, Kyrgyzstan memiliki jumlah jaringan lebih dengan kelebihan enam gol dalam tangan ketika Malaysia mencatatkan defisit dua gol.

Jika skuad negara menang manakala Kyrgyzstan tumbang, maka kedua-dua pasukan akan mengumpul 10 mata dan perbezaan gol bakal jadi penentu untuk mengintai peluang menamatkan kedudukan selaku naib juara Kumpulan D selepas Oman sah bergelar juara kumpulan.

Jika ia menyebelahi skuad kendalian Pan-gon, Malaysia akan meraih tiket ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mara automatik ke Piala Asia 2027.

“Kami sedar perkara itu di mana mereka ada kelebihan (dari segi kelebihan jaringan). Tapi kami mungkin boleh jaringkan lebih daripada 8 gol di tempat sendiri nanti.

“Kami juga ada kelebihan, bukan mudah untuk pasukan lawan datang (bermain di Bukit Jalil). Adakah anda (media Kyrgyzstan) masih ingat, pasukan anda juga dibolosi empat gol sebelum ini.

“Kami percaya dan yakin mampu lakukan sesuatu. Mungkin sekarang nampak kelebihan buat mereka (Kyrgyzstan), namun kami perlu berjuang hingga aksi terakhir.

“Kami sedar lima minit terakhir kami sememangnya mahu mengekalkan keputusan ini (seri) kerana kami tahu kami lebih kuat di tempat sendiri nanti.

“Kami akan cuba sebaik mungkin, kami menang 7-0 dan anda kalah 2-0 dah tentu kami mara. Di gelanggang sendiri kami ada kelebihan dan akan berjuang,” kata jurulatih negara dari Korea Selatan itu.

sumber:- HM

Dalam aksi malam tadi, skuad negara mengikat Kyrgyzstan 1-1 di Stadium Dolen Omurzakov, di mana gol tuan rumah diraih menerusi Gulzhigit Alykulov pada minit ke-24 sebelum pelawat menyamakan kedudukan hasil gol sendiri pertahanan, Odilzhon Abdurakmanov di minit ke-38.