sukan

Malaysia terlalu ‘lambat’

Keputusan seri 1-1 yang dilakar Malaysia ke atas Kyrgyzstan yang mana meletakkan mereka dalam situasi sukar untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dilihat berpunca kerana skuad negara terlalu ‘lambat’.

Penganalisis bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus melihat skuad negara tampil dengan permainan yang lebih baik berbanding tewas dua kali berturut-turut di tangan Oman sebelum ini namun beberapa kelemahan ketara di Stadium Dolen Omurzakov menyebabkan skuad negara gagal meraih mata penuh.

Tegasnya, antara kelemahan ketara adalah daripada transisi pemain yang dilihat agak perlahan khususnya dari segi bahagian tengah ke jentera serangan selain kekurangan hantaran ‘membunuh’ untuk melepasi kawalan pertahanan pasukan di ranking ke-100 dunia itu.

Fauzi menjelaskan, pemain negara seperti Paulo Josue dan Endrick dos Santos memiliki kemahiran teknikal yang mantap namun pergerakan yang agak perlahan menyebabkan Kyrgyzstan mudah untuk mematikan ancaman yang cuba diberikan Malaysia ketika melancarkan serangan.

“Transisi ketika menyerang agak lambat selain kita kurang kreativiti di bahagian tengah. Banyak hantaran yang agak tergesa-gesa selain tidak tepat untuk menembusi pertahanan lawan.

“Kita tidak dapat mengenalpasti ruang yang boleh kita gunakan di belakang pertahanan Kyrgyzstan terutamanya selepas Akhyar keluar dan tiada larian solo yang dilakukan. Kita banyak mengharapkan serangan daripada bahagian sisi menerusi Matt Davies dan La’Vere Corbin Ong.

“Transisi perlahan itu membuatkan kita tidak dapat mengatasi ‘loading’ daripada Kyrgyzstan dan kita sukar untuk memecahkan struktur pertahanan lawan. Kita sepatutnya lebih pantas dan agresif untuk memecahkan struktur lawan.

“Kita menghormati perancangan barisan kejurulatihan tetapi kita agak lambat melakukan pertukaran untuk pergi menyerang. Kita ada ramai pemain di bangku simpanan tetapi mungkin juga itu perancangan jurulatih untuk mengelak kekalahan.

“Cuma kita ada lima pertukaran yang boleh digunakan, jadi saya lihat itu satu kerugian. Apapun, melihat kepada persembahan kedua-dua pasukan di mana kurangnya kesalahan dan kreativiti, keputusan 1-1 adalah adil,” kata Fauzi.

Terdahulu, peluang untuk Harimau Malaya melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027 semakin tertutup apabila terikat 1-1 dengan Kyrgyzstan.

Dalam masa sama, Fauzi yang juga bekas Pengarah Teknikal PDRM FC melihat pemain senior menunjukkan aksi yang menyerlah selain barisan pertahanan turut memperagakan prestasi yang wajar diberikan pujian.

“Kita boleh letakkan harapan kepada pemain senior yang beraksi dan ini adalah percaturan daripada barisan kejurulatihan. Saya tertarik melihat Dion Cools yang menunjukkan versatilitinya di babak kedua sebelum kembali memberi sokongan kepada Dominic Tan dan Safwan Mazlan pada babak kedua.

sumber:- BH

“Kita nampak pergerakan menarik Dion di bahagian atas. Dominic, Safwan dan Azri Ghani juga memberikan persembahan yang baik, jadi kita boleh nampak yang kita ada pengganti di bangku simpanan di mana mereka membuktikan kemampuan mereka,” katanya.