sukan

Malaysia kejutkan Korea Selatan di AUFT

Universiti Malaysia (UM) melakar kejutan mengikat Korea Selatan tanpa jaringan dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A pada Kejohanan Persekutuan Bolasepak Universiti Asia (AUFT) yang berlangsung di Arena Sukan Azman Hashim di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Ketua jurulatih UM, Ridzuan Abu Shah berkata, mereka turun dalam misi wajib menang bagi memastikan impian untuk ke perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat menjadi kenyataan namun begitu, Korea Selatan selaku pasukan pilihan ternyata lebih ampuh dan menguasai permainan.

Namun begitu, keputusan seri itu adalah satu keputusan cukup besar buat pasukan UM memandangkan reputasi lawan mereka dalam AUFT.

“Pertukaran pemain yang saya buat pada perlawanan pertama kita bermain dan hari ini disiplin yang ditunjukkan oleh pasukan Malaysia amat berkesan. Sebab selama ini kita tidak pernah seri dengan Korea Selatan dalam edisi sebelum ini.

“Satu kerugian sebab taktikal yang kita buat ini tidak dapat banyak peluang dan mungkin kita akan dapat dalam satu dua atau tiga sahaja. Peluang ini sepatutnya mereka boleh sudahkan dengan jaringan dan itu yang saya pesan kepada pemain. Tapi tak apa sekurang-kurangnya kita dapat satu mata, “katanya selepas tamat perlawanan, sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, pasukan UM terpaksa bermain secara bertahan dan menggunakan taktikal serangan balas pantas untuk mendapatkan jaringan dan ia hampir menjadi selepas terdapat beberapa peluang keemasan tetapi barisan hadapan tidak menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

Anak buah Lee Sungwan yang turun tanpa tekanan dan sudah mengesahkan tempat ke pentas final bertemu Jepun sabtu ini kelihatan berhempas pulas untuk mendapatkan jaringan selain mereka kelihatan agar sukar bermain dalam keadaan cuaca yang panas.

Dengan keputusan seri itu, UM mengumpul empat mata selepas menang dengan Filipina dan kalah bertemu Oman sebelum ini.

Skuad kendalian Ridzuan Abu Shah masih berpeluang untuk menamatkan perlawanan di tempat kedua dalam peringkat Kumpulan A namun perlu mengharapkan Oman tewas kepada Filipina atau seri dalam perlawanan terakhir mereka petang ini.

sumber:_ HM

Jika tidak, mereka akan ke klafikasi tempat kelima dan keenam sekali fus cuba mengulangi pencapaian 2019 di Taiwan.