sukan

Kim Pan-gon luah hasrat ukir sejarah baharu

Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon meluahkan hasrat untuk mengukir sejarah baharu bola sepak negara dengan yakin membawa anak buahnya ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 buat pertama kalinya dalam tinta sejarah negara.

Jelas Pan-gon, keazaman itu diterapkan di dada setiap pemain yang sedar kemenangan ke atas Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov di Bishkek malam esok akan membuka peluang untuk Malaysia muncul antara 18 pasukan terbaik benua ini.

Katanya, biarpun rekod skuad Harimau Malaya apabila bertandang ke tempat lawan agak membimbangkan, namun ketakutan itu akan bertukar sebagai azimat untuk memastikan kemenangan mampu diraih di depan penyokong tuan rumah nanti.

“Betul (rekod bermain di tempat lawan) selalunya agak sukar di mana kami juga perlukan kemenangan. Perlawanan esok agak berbeza dan ia penting. Bagi penyokong Malaysia jika kami layak, ia adalah sejarah untuk pasukan di kelayakan ini.

“Saya sedar tetapi situasi itu membuatkan kami lebih kuat. Saya dan juga pemain serta FAM (pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia) serta penyokong, kami semua ada keinginan tinggi untuk berjuang esok.

“Saya fikir esok akan lebih bernilai dan istimewa jika kemenangan diraih. Saya tidak kisah mengenai rekod sebaliknya melihat dari sudut berbeza,” katanya pada sidang media di Bishkek, hari ini.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, skuad Harimau Malaya yang menghuni ranking 138 dunia sudah bertemu sebanyak dua kali di peringkat antarabangsa menentang skuad The White Falcons itu.

Dalam dua aksi itu, keputusan agak seimbang dengan pertemuan kali pertama pada 16 Oktober 2018 dalam aksi persahabatan yang menyaksikan Malaysia tewas tipis 0-1.

Perlawanan kedua pula memihak skuad Harimau Malaya dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 16 November tahun lalu di mana anak buah Pan-gon bangkit daripada ketinggalan di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menang 4-3.

“Kami sedar ia akan menjadi aksi yang sukar di mana Kyrgyzstan sebuah pasukan yang memiliki kualiti dan kami bermain di tempat lawan.

“Kesemua itu nyata tidak berada di pihak kami, tapi apapun ia tidak boleh menghalang kami kerana kami ada semangat yang membara, lebih bernafsu dan kami mengimpikan untuk mara ke peringkat 18 terbaik.

“Jadi saya fikir kami sudah melakukan persiapan yang sangat baik sepanjang minggu lalu dan saya percaya barisan pemain amat berkeyakinan.

“Saya tidak sabar untuk menanti hari perlawanan dan harap satu permainan yang baik dan raih keputusan baik kepada pasukan,” katanya.

sumber:- HM

Ketika ini, Malaysia berada di tangga ketiga Kumpulan D dan kemenangan ke atas Kyrgyzstan akan membuka peluang buat skuad negara mengintai slot ke pusingan berikutnya dan wajib menang ke atas Taiwan dalam aksi terakhir di Bukit Jalil, Selasa depan.