sukan

Wakil Malaysia kembali mengaum

Pasukan Universiti Malaysia menebus kekecewaan aksi pembukaan Kejohanan Bolasepak Universiti Asia (AUFT) 2024, semalam apabila menewaskan Filipina 3-1 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Skuad kendalian Ridzuan Abu Shah yang tewas tipis 0-1 kepada Oman di gelanggang sama dalam aksi pertama Kumpulan A berjaya menembusi gawang Filipina menerusi Hausen Shwahiri Hasboni Shawal pada minit ke-27.

Filipina bagaimanapun menyamakan kedudukan hasil ledakan Edgar Aban pada minit ke-56, namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Muhammad Khairil Mohd Zain kembali meletakkan Malaysia di depan, enam minit kemudian.

Drama lebih menarik berlaku di penghujung perlawanan dengan penjaga gol, Muhammad Asyraf Mohamad Fadhil menyelamatkan sepakan penalti pada minit ke-81 sebelum Muhammad Darwisy Abdullah meledak jaringan ketiga Malaysia ketika perlawanan berbaki empat minit, sekali gus mengesahkan kemenangan Harimau Siswa.

Harimau Siswa bagaimanapun berdepan tugas getir apabila akan berdepan pasukan pilihan, Korea Selatan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, esok, manakala Filipina menentang Oman.

Terdahulu, Korea Selatan yang membelasah Filipina 8-0, semalam hampir pasti muncul juara Kumpulan A apabila menewaskan Oman 5-3.

sumber:- BH

Korea Selatan kini mendahului saingan Kumpulan A dengan mengumpul enam mata, manakala Malaysia dan Oman berkongsi tiga mata.