sukan

Keputusan aksi Malaysia berdepan Perancis

LALUAN skuad hoki negara ke separuh akhir Kejuaraan Piala Negara-Negara 2023/24 memasuki fasa mencabar selepas tewas 1-3 kepada Perancis dalam perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Nasional, Gniezno, Poland pada Isnin.

Anak buah Sarjit Singh yang mempersia-siakan tiga gol awal ketika diikat 4-4 berdepan Pakistan dalam perlawanan pertama turun tampil lebih agresif dalam misi meraih tiga mata.

Bagaimanapun Perancis yang diinspirasikan dengan kemenangan 4-0 ke atas Kanada, terlebih dulu merobek gawang The Speedy Tigers menerusi pukulan sudut penalti minit kelima, Timothee Clement menewaskan Muhamad Zaimi Mat Deris.

Speedy Tigers yang tersentak dengan jaringan itu kembali memperkemaskan permainan akhirnya menyamakan kedudukan menerusi gol padang Faizal Saari minit ke-28.

Gol penyamaan itu menyaksikan kedua-dua pasukan meningkatkan intensiti permainan bagi melebarkan jaringan.

Perancis akhirnya memanfaatkan situasi kelam kabut apabila meledak gol padang hasil jaringan François Goyet minit ke-43.Gol itu menaikkan motivasi pasukan Perancis yang sekali lagi meledak jaringan ketiga hasil sentuhan penalti stroke Etienne Tynevez pada minit ke-60.

Sementara itu, Pakistan melakar kemenangan bergaya apabila menewaskan Kanada, 8-1 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B di venue sama.

Keputusan itu menyaksikan Perancis memimpin kumpulan dengan enam mata, diikuti Pakistan (empat mata), Malaysia (satu mata) manakala Kanada tanpa sebarang mata selepas masing-masing mengharungi dua perlawanan.

Sementara itu, Sarjit mengakui skuad negara dihukum kesilapan kecil apabila gagal mendapat sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan tersebut.

sumber:- SH

“Pemain-pemain gagal menyudahkan lima pukulan sudut penalti, ini sesuatu yang mereka perlu belajar tingkatkan kemahiran. Perlawanan berdepan Kanada, pemain-pemain tiada pilihan kecuali tampil dengan mentaliti menang,” katanya.

INFO

PIALA NEGARA-NEGARA

(31 Mei hingga 9 Jun)

Malaysia (ranking ke-13)

Perancis (ranking ke-9)

Pakistan (ranking ke-16)

Kanada (ranking ke-20)

KEPUTUSAN

Malaysia 4-4 Pakistan

Malaysia 1 -3 Perancis

JADUAL PERLAWANAN

RABU (5 JUN)

Malaysia lwn Kanada, 9.30 malam