sukan

Pengganti Syihan selepas digugurkan

Ketiadaan penjaga gol utama, Ahmad Syihan Hazmi yang digugurkan susulan kecederaan bagi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 jelas meninggalkan kelompongan besar di bahagian benteng terakhir skuad bola sepak kebangsaan.

Nasib skuad Harimau Malaya kini bakal dipertaruhkan kepada tiga penjaga gol iaitu Azri Ghani, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman untuk menghadapi cabaran Kyrgyzstan dan Taiwan.

Justeru, penjaga gol manakah bakal menjadi pilihan jurulatih, Kim Pan Gon untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Ahmad Syihan?

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Richard Scully berpandangan Sikh Izhan yang kini bersama Penang FC mampu menjadi pilihan terbaik untuk mengawal benteng skuad kebangsaan meskipun dia lebih muda berbanding dua rakan sepasukannya itu.

Tegasnya, ini tidak bermakna Azri ataupun Kalamullah adalah penjaga gol yang kurang baik namun menerusi pertimbangan berdasarkan situasi semasa, Sikh Izhan dianggap lebih bersedia dengan keputusan tetap tertakluk di tangan Pan Gon.

“Tiga penjaga gol ini sudah bersama skuad kebangsaan cuma tidak mendapat minit permainan. Bukan kita nak katakan satu penjaga gol ini lebih baik daripada yang lain tetapi kita perlu lihat secara menyeluruh.

“Cuma saya rasa Sikh lebih bersedia berikutan prestasi semasa dan juga pendedahannya di peringkat antarabangsa. Kalau kita lihat secara kesinambungannya pun, Sikh ada kesinambungannya (skuad muda ke skuad senior).

“Ini membolehkan Sikh menggalas tugas sebagai benteng terakhir negara tetapi sesiapa pun yang diberi peluang nanti, mereka harus memanfaatkan peluang terbaik ini untuk menonjolkan kemampuan mereka,” kata Richard.

Dalam perkembangan sama, Richard turut menegaskan tidak ada istilah gugup ataupun gementar selepas penjaga gol yang selama ini sekadar memanaskan bangku simpanan terpaksa dipanggil untuk menjadi ‘watak utama’.

“Kalau sudah menggalas tugas bersama pasukan kebangsaan, mereka perlu hadapi tekanan jadi tak perlu ada rasa takut apabila sudah turun ke lapangan.

sumber:- BH

“Sudah tiba masanya untuk mereka menunjukkan kemampuan dan beraksi bersama skuad kebangsaan juga sudah semestinya menjadi impian mereka sejak dari kecil. Jadi mengapa perlu rasa gugup?,” katanya.