sukan

Lee Zii Jia kembali ‘menyerang’

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dilihat sudah kembali kepada ‘mod menyerang’ yang menjadi senjata utamanya sebelum ini.

Bekas jurulatihnya ketika zaman remaja, Kwan Yoke Meng, berkata dia dapat menyaksikan perkembangan itu ketika pemain nombor sembilan dunia berkenaan menjuarai Terbuka Thailand dan naib juara Masters Malaysia bulan lalu.

Katanya, ia adalah satu petanda positif buat Zii Jia yang dalam misi untuk memburu pingat di Sukan Olimpik Paris 2024.”Sekarang kita dapat melihat banyak perubahan dilakukan dalam permainannya apabila dia kembali kepada corak permainan menyerang.

“Sebelum ini, dia nampak cuba memperbaiki kelemahannya tetapi dia lupa mengenai cara untuk mendapatkan mata.

“Sebenarnya kekuatannya untuk mendapatkan mata kemenangan adalah dengan corak permainan menyerang.”Dia juga perlu bagus dalam aspek bertahan dan permainan dijaring yang mana kesemuanya perlu sempurna.

“Jika anda tidak menggunakan senjata anda, bagaimana anda mahu mengutip mata. Sekarang saya rasa dia mula sedar dan itu adalah petanda yang baik untuknya,” kata Yoke Meng yang juga bekas pemain negara yang membantu Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992.

Selain Zii Jia, Yoke Meng turut meletakkan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik antara prospek bagi memenangi pingat buat Malaysia di Olimpik Paris.

“Sebenarnya semua pemain Malaysia yang beraksi ada peluang untuk menang (pingat). Cuma mereka perlu capai kemuncak prestasi di masa yang tepat.

“Selain itu, mereka perlu elak daripada mengalami kecederaan, kawal aspek mental dan segala-galanya perlu berada dalam keadaan terbaik,” katanya.

sumber:- BH

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik berjaya menyumbang gangsa buat Malaysia pada penampilan sulung mereka di Sukan Olimpik Tokyo 2020.