sukan

Status terkini Ivan Mamut masih jadi tanda tanya

Status terkini tahap kecederaan penyerang utama Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut masih menjadi tanda tanya sama ada pemain itu boleh bersama pasukan ataupun sebaliknya.

Terdahulu penyerang berusia 27 tahun kelahiran Split, Croatia itu mengalami kecederaan tendon achilles pada kaki kirinya ketika menjalani latihan pramusim yang menyaksikan dia perlu berehat panjang.

Pengarah Sukan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Zul Fadli Rozi berkata, status terkini tahap kecederaan penyerang import itu masih belum dapat dipastikan lagi kerana dalam proses rawatan.

“Seperti yang penyokong sedia maklum, Mamut pada ketika ini masih dalam proses rawatan penyembuhan kecederaan tendone achilles yang dialaminya ketika latihan pramusim.

“Jadi bagi memastikan pemain itu cepat sembuh, pihak pengurusan sebelum ini membenarkan pemain itu menjalani rawatan di negaranya bersama pakar di sana selama enam minggu.

“Mengikut perbincangan, Mamut dijadualkan akan kembali ke Terengganu pada esok sebelum pihak perubatan pasukan akan membuat pemeriksaan susulan apabila dia tiba di sini.

“Pemeriksaan itu bagi memastikan sama ada dia sudah bersedia menjalani latihan penuh bersama pasukan ataupun masih perlu meneruskan rawatan pemulihan bersama pihak perubatan TFC,” kata Zul Fadli menerusi kenyataan rasmi malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, besar harapan kelab dan juga peminat setia agar penyerang yang menjaringkan 22 gol sepanjang 32 penampilannya bersama TFC pada musim lalu mampu beraksi selepas terlepas tiga perlawanan awal Liga Super.

“Sememangnya pasukan sangat memerlukan ketajaman penyudah pada ketika ini dan kita semua tahu kualiti yang dimiliki oleh pemain itu mampu untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan.

“Sama-sama kita berdoa agar dia segera sembuh dan seterusnya dapat kembali membantu pasukan bagi saingan musim ini terutama ketika berdepan Perak FC dalam saingan Piala FA pada 14 Jun ini di Kuala Terengganu,” ujar Zul Fadli.