sukan

Tida slot automatik untuk mereka

Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menegaskan tiada slot automatik buat mana-mana pemain dalam kesebelasan utama termasuk buat tonggak senior.

Sebaliknya, semua pemain perlu bersaing secara sihat untuk mencuri perhatiannya menjelang dua aksi getir Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, masing-masing pada 6 dan 11 Jun ini.

Katanya, di beberapa posisi khususnya di bahagian sayap kiri dan kanan memberi sedikit kesukaran buatnya selepas dua bintang utama iaitu Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi disisihkan ekoran kecederaan.

Lantas, beliau menyeru tiga tonggak antara Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Adib Ra’op membuktikan kemampuan masing-masing bagi mengisi posisi itu.

“Anda pun tahu kita tiada banyak pilihan pemain di posisi itu (sayap). Akhyar ada, Safawi ada dan Adib pun ada.”Ia kadang kala mungkin pemain lain boleh mengisi kedudukan itu mengikut taktikal permainan.

“Dalam beberapa lagi ini (latihan), kita akan cuba lihat siapa yang sesuai mengisi posisi itu dan ia persaingan yang sengit, cuma kita tiada banyak opsyen,” katanya.

Ujarnya lagi, beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menunaikan hasratnya agar menyediakan satu penerbangan khas untuk aksi dengan Kyrgyzstan itu.

“Permintaan saya kadang kala sukar tapi Datuk Hamidin dapat menyediakan, saya ucapkan terima kasih. Ini dapat menjimatkan masa penerbangan dan boleh beri pasukan lebih bersedia,” katanya.

Pasukan negara akan menggunakan pesawat khas disediakan oleh Malaysia Airlines (MAS) bagi penerbangan pergi ke Bishkek pada 4 Jun dan pulang ke tanah air 7 Jun ini.

Ketika ini, skuad negara memerlukan enam mata maksimum daripada baki dua aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 itu bagi membolehkan hasrat untuk layak ke pusingan ketiga tercapai.

sumber:- HM

Malah, ia juga akan membolehkan pasukan mara secara automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi sekali gus layak buat kali kedua berturut-turut.