sukan

Ronaldo menangis di perlawanan akhir

CRISTIANO Ronaldo menangis selepas Al-Nassr tewas kepada Al-Hilal menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir Piala Raja Saudi pada awal pagi Sabtu.

Al-Nassr tewas 5-4 menerusi sepakan penalti selepas perlawanan terikat 1-1 dalam aksi dramatik selama 120 minit.

Setelah melengkapkan keseluruhan kempen Liga Pro Saudi tanpa kalah, Al-Hilal memulakan perlawanan akhir Piala Raja Saudi itu sebagai pasukan pilihan.

Pasukan itu berada di hadapan apabila Aleksandar Mitrovic menanduk masuk gol pembukaan selepas enam minit perlawanan berlangsung.

Selepas ketinggalan satu gol, Al-Nassr terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-56 apabila penjaga gol David Ospina dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran ke atas Malcom.

Namun, Al-Nassr berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-88 melalui Aiman ​​​​Yahya selepas menanduk lontaran ke dalam.Gol penyamaan itu berlaku sejurus selepas pemain pertahanan Al-Hilal, Ali Al-Bulaihi dilayangkan kad merah kerana mengasari Sami Al-Najei.

Momentum kemudian berpihak kepada Al-Nassr selepas seorang lagi pemain Al-Hilal, Kalidou Koulibaly turut dilayangkan kad merah.Walaupun bermain dengan kelebihan pemain, namun Al-Nassr gagal menjaringkan gol kedua.

Ronaldo berjaya menjaringkan penalti semasa penentuan sepakan itu, tetapi bekas rakan sepasukan Manchester United, Alex Tellesm Ali Al-Hassan dan Meshari Al-Nemer gagal menemui sasaran.

Ronaldo terduduk di atas tanah sambil menangis selepas sepakan penalti tersebut tamat.

sumber:- SH

Ia adalah penampilan ke-70 Ronaldo untuk Al Nassr dan setakat ini telah menjaringkan 64 gol termasuk 35 gol yang memecahkan rekod dalam Liga Pro Saudi musim ini.