Hasrat untuk lihat sekurang-kurangnya satu bendera Malaysia di separuh akhir tidak kesampaian apabila keempat-empat wakil negara yang turun dalam perlawanan suku akhir tewas kepada lawan masing-masing di Terbuka Singapura, hari ini.
Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diletakkan harapan untuk membawa cabaran Malaysia lebih jauh juga tidak mampu mengatasi lawan mereka apabila tewas kepada gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen straight set 10-21, 14-21.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura, permainan Aaron-Wooi Yik di set pertama serba tidak menjadi apabila mereka ketinggalan dari awal dengan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan sekali gus membolehkan lawan terus menjarakkan kedudukan mata begitu besar.
Di set kedua, pasangan negara itu memperkemaskan kembali rentak permainan dan berjaya memperbaiki beberapa kesilapan untuk cuba bangkit namun terpaksa akur apabila pasangan Denmark itu bermain dengan begitu cemerlang hari ini sekali gus menafikan kebangkitan yang cuba dilakukan gandingan negara itu.
Mengikut rekod, mereka sudah bertemu 11 kali termasuk perlawanan hari ini di mana tujuh kemenangan memihak kepada Aaron-Wooi Yik dan selebihnya kepada Astrup-Skaarup Rasmussen.
Sementara itu, beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin terpaksa bertarung sehingga tiga set sebelum akur kalah kepada pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 16-21, 21-9, 17-21.
Manakala perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao kelihatan begitu sukar untuk menggugat permainan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen meskipun dia cuba memberi tentangan namun perbezaan pengalaman dan cara penguasaan gelanggang jelas kelihatan bagi kedua-dua pemain itu.
sumber:- HM
Axelsen tidak berhadapan masalah untuk ke separuh akhir dengan kemenangan ke atas Jun Hao dengan straight set 21-12,21-11 dalam masa 41 minit permainan.