sukan

“Saya tak sangka benda itu”

“Saya tak sangka benda itu, sebab saya rasa saya cuma bermain di Pulau Pinang (Penang FC) dan saya tak rasa orang pandang saya.”

Demikian reaksi bintang dalam pembikinan, Muhammad Adib Abdul Ra’op yang menegaskan dirinya tidak menyangka dipantau rapat oleh pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon sejak musim lalu.

Jelas calon pengganti Faisal Halim di posisi sayap kiri itu, dia perlu bekerja lebih keras untuk berada dalam pasukan selepas mengakui rata-rata pemain yang dipanggil untuk aksi menentang Kyrgyzstan dan Taiwan dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 6 dan 11 Jun ini cukup berpengalaman.

Katanya, tahap permainan tonggak senior dalam pasukan kebangsaan sememangnya di tahap tertinggi dan Adib berazam untuk memanfaatkan tempoh latihan pusat yang ada untuk menyamai kemampuan pemain lain.

“Banyak pemain senior dan semuanya pemain berpengalaman. Kat sini (latihan pusat Harimau Malaya) saya rasa saya dapat belajar lagi banyak, dan saya kena berusaha lebih keras untuk sama ‘level’ dengan dia orang.

“Sebab ‘level’ dia orang lebih tinggi daripada saya, tapi saya rasa itu tak menjatuhkan semangat saya untuk bermain.

“Saya rasa ini pembakar semangat untuk saya sama ‘level’ dengan dia orang,” katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam.

Menerusi laporan muka belakang akhbar Harian Metro hari ini, Pan-gon tampaknya sudah menemui pengganti sesuai di posisi sayap kiri di mana Adib dilihat permata baharu yang bakal menyerlah bersama skuad negara.

Jurulatih dari Korea Selatan itu sendiri mengakui mengikuti rapat perkembangan Adib sejak semusim lalu di mana baginya tonggak berusia 25 tahun itu mempunyai empat elemen iaitu kepantasan, kekuatan fizikal, agresif dan daya ketahanan tinggi.

Situasi itu sekaligus menjadikan Adib calon pengganti Faisal yang sebelum ini terpaksa disisihkan ekoran kecederaan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

“Saya kena tunjuk dan membuktikan kepada jurulatih Pan-gon yang saya layak bermain atau saya perlu lebih daripada pemain-pemain lain, InsyaAllah.

“Semuanya terletak pada diri saya dulu dan yang lain saya harap jurulatih dapat beri saya peluang untuk bermain,” kata Adib yang tekad mencuri tempat dalam pasukan kebangsaan.

Ditanya respon ibu bapanya selepas pertama kali berjaya mengetuk pintu Harimau Malaya, Adib akui keluarganya terkejut sambil mengingatkan agar sentiasa berdoa dan tidak tinggal solat.

sumber:- HM

“Mak ayah sangat bangga. Mereka tak pernah sangka pun benda ini, jadi mereka pesan doa dan solat jangan tinggal,” kata pemain kelahiran Bagan Datuk, Perak.