sukan

Keputusan aksi Izzuddin-Sze Fei dalam penentuan ke Separuh Akhir

Beberapa kesilapan mudah yang dilakukan menuju hujung set ketiga menyekat kebangkitan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei untuk melangkah ke separuh akhir Terbuka Singapura, sebentar tadi.

Pasangan ranking ke-14 dunia itu terpaksa akur apabila tewas di tangan gandingan ke-10 dunia dari China, He Jing Ting-Ren Xiang Yu dalam pertarungan tiga set 16-21, 21-9, 17-21 pada aksi suku akhir di Stadium Tertutup Singapura.

Izzuddin-Sze Fei yang juga naib juara Asia berjaya mempamerkan kebangkitan susulan kekalahan set pertama untuk menang bergaya 21-9 di set kedua sekali gus mengheret permainan ke set penentuan.

Aksi set ketiga menyaksikan Izzuddin-Sze Fei berjaya mendominasi permulaan permainan dengan mendahului 11-9 sebelum pertukaran gelanggang.

Bagaimanapun, mereka gagal mengekalkan momentum itu apabila Ji Ting-Xiang Yu bangkit dan berjaya mengutip mata menerusi kesilapan-kesilapan mudah dilakukan Izzuddin-Sze Fei sekali gus menoktahkan kemenangan 21-17 dalam tempoh 63 minit.

Ini adalah kali kedua berturut-turut Izzuddin-Sze Fei tewas di tangan lawan berkenaan selepas turut menerima nasib sama ketika saingan Piala Thomas di Chendu, China awal bulan ini.

Keputusan itu menyaksikan sekadar menyamai pencapaian mara ke suku akhir ketika Masters Malaysia, minggu lalu.

“Rentak permainan hari ini sangat laju, perlawanan hari ini adalah mengenai kepantasan dan kekuatan.

“Pada hujung perlawanan kami hilang fokus dan banyak melakukan kesilapan mudah. Selepas ini kami perlu buat persiapan yang lebih baik lagi dalam semua aspek,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, nasib sama turut dialami beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila tewas di tangan juara dunia dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.

Dalam perlawanan itu, Tang Jie-Ee Wei tewas straight set 14-21, 18-21.

Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei melaungkan tekad untuk menebus kekalahan itu apabila kedua-dua pasangan dijadual bertemu sekali lagi di pusingan pertama Terbuka Indonesia, minggu depan.

“Saya fikir kami sudah memberikan yang terbaik tetapi ada banyak kesilapan di set kedua ketika kami mendahului.

sumber:- BH

“Kami mahu segera melupakan kekalahan ini kerana kami akan bertemu mereka sekali lagi di pusingan pertama Terbuka Indonesia. Saya percaya kami boleh tebus kekalahan ini,” kata Tang Jie.