sukan

Skuad Hoki kebangsaan terima tamparan awal

Skuad hoki lelaki kebangsaan menerima tamparan awal menjelang Piala Negara-Negara di Poland yang dijadual berlangsung dari 31 Mei hingga 9 Jun ini apabila tonggak jentera serangannya, Faizal Saari mengalami kecederaan ketika sesi latihan.

Susulan daripada kecederaan itu, Faizal tidak diturunkan ketika perlawanan persahabatan menentang New Zealand di Stadium Nasional di Gniezno semalam yang menyaksikan skuad negara tewas 4-1.

Pengendali skuad negara, Sarjit Singh berkata, Faizal kini dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan di bahagian lutut yang dialaminya ketika sesi latihan kira-kira dua hari lalu.

“Bola terkena lututnya tetapi kecederaan itu tidak serius. Dia sepatutnya boleh pulih dengan segera,” kata Sarjit dalam satu hantaran di laman sesawang Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), hari ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan ranking ke-16 dunia, Pakistan, Perancis (kesembilan) dan Kanada (ke-20) manakala Kumpulan A disertai Austria, Korea Selatan, New Zealand, Poland dan Afrika Selatan.

Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia dijadual membuka tirai kejohanan bertemu Pakistan pada Jumaat ini sebelum bertemu Perancis (2 Jun) dan Kanada (5 Jun).

Sarjit berkata, dia gembira kerana pasukan tiba lebih awal di Poland bagi membolehkan pemain menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca serta gelanggang pertandingan.

“Saya bersyukur kerana kita tiba lebih awal i sini (Jumaat lalu) kerana pemain boleh menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca. Ia sangat panas di sini. Tambahan pula, permukaan padang agak tidak rata dan pemain tampak sukar untuk membiasakannya.

“Padangnya menggunakan rumput hijau gelap, tidak rata. Ia jauh berbeza dengan padang biru yang kita ada di Malaysia. Malah New Zealand juga sukar menyesuaikan diri bermain di atas permukaan sebegini. Mereka tiba di sini lebih awal daripada kami dan juga pasukan Austria.

“Saya harap pemain pantas dapat menyesuaikan diri. Untuk beberapa perlawanan, saya percaya akan ditentukan di padang ini. Walaupun kita tewas 4-1 kepada New Zealand, ia satu pengalaman berharga buat pasukan terutama enam muka baharu. Mereka semua diberikan peluang bermain,” katanya.

sumber:- BH

Enam muka baharu yang menyertai pasukan pada kali ini adalah kapten Piala Remaja Dunia 2023, Faris Harizan, T Naaveennash Panicker, Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi, Syawal Abdul Razak, Kamarulzaman Kamaruddin dan Arif Syafie Ishak.