sukan

Kompany sah jurulatih baharu

Pencarian lama Bayern Munich untuk memenuhi kekosongan jawatan ketua jurulatih berakhir apabila kelab gergasi Jerman itu menamakan Vincent Kompany sebagai pengurus dalam satu keputusan mengejut lewat malam tadi.

Jurulatih berusia 38 tahun dari Belgium itu, pilihan mengejutkan memandangkan kelab Burnley kendaliannya tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris musim ini, menandatangani kontrak tiga tahun di Allianz Arena.

Kebiasaannya memburu nama besar dalam sukan itu, Bayern mencari selama beberapa bulan tetapi tawaran mereka ditolak oleh beberapa calon selepas musim pertama tanpa sebarang trofi kejuaraan dalam tempoh 12 tahun.

Selepas gagal memujuk bos Bayer Leverkusen, Xabi Alonso, jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann dan pengurus Austria, Ralf Rangnick, Bayern cuba mengekalkan Thomas Tuchel, yang bersetuju pada Februari lalu untuk meninggalkan pasukan pada musim panas ini.

Tuchel bagaimanapun mengumumkan awal bulan ini beliau “tidak bersetuju dengan terma” untuk kekal di kelab itu dan akan “berpegang kepada persetujuan yang kami capai pada Februari.”

Sebaliknya, Bayern memutuskan untuk mendapatkan khidmat Kompany, mengambil risiko terhadap jurulatih kurang berpengalaman bagi satu daripada tugas paling besar dalam bola sepak.

“Saya tidak sabar untuk mengharungi cabaran di FC Bayern. Ia satu penghormatan besar untuk berpeluang bekerja di kelab ini – FC Bayern adalah satu institusi dalam bola sepak antarabangsa,” kata Kompany dalam satu kenyataan kelab.

“Kini saya akan melihat kepada asas: bekerja dengan pemain, membentuk satu pasukan. Sebaik asasnya betul, kejayaan akan menyusul.”

Burnley dilapor akan menerima £10 juta (RM59.7 juta) dari segi pampasan kerana membenarkan pengurus mereka berpindah ke Munich.

sumber:- BH

“Kami memahami daya tarikan dan prestij kelab seperti Bayern Munich dan menghormati cita-cita Vincent untuk meneroka peluang baharu,” kata Burnley dalam satu kenyataan. – AFP